on 03/09/2018 2848
Ditubuhkan pada tahun 1986, The children’s house adalah salah sebuah institusi prasekolah Montessori terawal di Malaysia. Falsafah dan nilai teras institusi tersebut kekal sama; mewujudkan peluang kepada penduduk dan komuniti. The children’s house TTDI 2 adalah cawangan kedua institusi masyhur ini untuk komuniti TTDI dan telah dibuka secara rasmi pada bulan Ogos 2018.
Aspek fizikal sekolah tersebut berjaya memberikan sebuah gambaran yang menzahirkan aspirasi serta kemampuan sekolah tersebut dalam menyediakan sebuah persekitaran pembelajaran yang kondusif - persekitaran yang menggabungkan nilai-nilai pendidikan yang liberal. Kanak-kanak akan mendapati suasana di sekolah tersebut menyerupai suasana di rumah mereka sendiri; menyokong, mesra dan selamat. Segenap aspek pendidikan telah direka untuk memupuk rasa kebahagiaan dan kasih sayang terhadap pembelajaran, keyakinan, motivasi diri, kemerdekaan, kreativiti dan rasa hormat. Pencahayaan lembut serta hiasan kayu semulajadi berjaya mencetuskan suasana yang selesa; pintu Perancis menghubungkan ruang dalaman dan luaran, mengoptimumkan cara kanak-kanak berinteraksi dengan alam sekitar. Perabot bersaiz kanak-kanak dan bahan-bahan yang mudah diakses sekali gus mencetuskan rasa bebas disamping menyokong pembelajaran yang bersifat kendiri manakala ruang yang disediakan dapat menampung pilihan pembelajaran individu serta aktiviti kumpulan.
TCH TTDI 2 menawarkan kombinasi pendekatan-pendekatan pendidikan dan asuhan yang terbaik. Kanak-kanak seawal 8 bulan hingga 6 tahun diajar untuk menjadi seorang pelajar yang bebas, tahu rasa hormat-menghormati serta bertanggungjawab. Kanak-kanak dapat menghabiskan tahun-tahun awal mereka dalam persekitaran yang lebih selasa serta konsisten – persekitaran yang dapat membina hubungan yang bermakna sesama mereka.
Kanak-kanak menghabiskan 18 bulan pertama mereka dengan menyertai permainan yang dipercayai dapat membantu mereka untuk bereksperimen, memahami dunia, mengungkapkan rasa ingin tahu mereka serta memupuk pelbagai kemahiran-kemahiran asas. Permainan sebegini dapat membina kemahiran motor halus dan kasar, pertumbuhan sosial dan emosi, deria dan persepsi, bahasa dan bantuan diri dalam kalangan kanak-kanak. Dengan memupuk keinginan semulajadi mereka untuk bermain serta meneroka, kanak-kanak dengan sendirinya akan berasa teruja untuk meneruskan aktiviti pembelajaran mereka.
Pembelajaran dan pembangunan menggunakan pendekatan pedagogi Montessori. Model pendidikan tradisional di mana pembelajaran dibahagikan kepada subjek individu tidak lagi diguna pakai. Kurikulum di sini sebaliknya mengamalkan pendekatan tematik yang bersepadu yang berusaha mengaitkan disiplin-disiplin pengajian yang berbeza - kehidupan praktikal, bahasa, sensorial, matematik, sains, muzik dan budaya. Kesemua aktiviti adalah bersifat langsung. Persekitaran yang luas membolehkan pergerakan bebas dilakukan, sama ada dilakukan secara individu mahupun dengan rakan sebaya dalam bentuk kumpulan-kumpulan kecil. Kadar pengajaran dan pembelajaran adalah sederhana dan berhati-hati, di mana guru-guru dengan lembut membimbing kanak-kanak dan bukannya dengan cara mengganggu dan memarahi.
Suara tenang digunakan ketika mengajar. Setiap kanak-kanak dihormati dan diajar untuk berkongsi dan mengambil berat antara satu sama lain. Kanak-kanak digalakkan untuk meluahkan perasaan mereka dan bercakap dengan rakan-rakan serta orang dewasa; perbualan akan membawa kepada pengajaran formal bahasa sama ada dalam Bahasa Malaysia mahupun Mandarin. Kegiatan harian memberi kanak-kanak pemahaman tentang konsep berdikari, disiplin dan pengurusan masa. Kegiatan yang sama ini juga akan dilanjutkan ke luar bilik darjah. Meluangkan masa di luar bilik darjah akan mempengaruhi kanak-kanak untuk menghargai gaya hidup yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Sekolah ini juga merupakan tempat untuk ibu bapa mempelajari dengan lebih lanjut mengenai pendekatan pendidikan yang berpusatkan kanak-kanak, disamping mengikat pertalian persahabatan yang erat. Ibu bapa yang sibuk tidak akan berasa gundah jika mereka memilih untuk menghantar anak-anak mereka di TCH TTDI 2 ini. Kelas sepenuh masa Bahasa Mandarin dan Bahasa Malaysia ditawarkan. Kelas-kelas ini akan ditambah dari semasa ke semasa, termasuklah kelas-kelas seperti kelas robotik dan sukan. Makanan yang berkhasiat, makanan yang sesuai serta makanan ringan disediakan bagi memenuhi keperluan badan dan minda kanak-kanak yang semakin berkembang. Hubungan di antara sekolah dan ibu bapa dipupuk dan dijaga, selain bertindak sebagai elemen tunjang yang memegang seluruh proses pendidikan bersama di situ; maklumat terkini setiap kanak-kanak sentiasa dikemaskini. Di samping itu, pihak sekolah sentiasa mencuba untuk melibatkan ibu bapa dalam setiap aktiviti anjuran mereka; seperti aktiviti berjalan kaki, menanam serta acara tahunan mereka “Caring and Sharing.”
Ringkasnya, The children’s house TTDI 2 berjaya menyediakan persekitaran serta pengalaman pembelajaran yang serba baik, dalam memastikan kanak-kanak menerima pendidikan prasekolah yang terbaik dan unggul.