on 08/03/2017 1643
Polka Dot Train Studio adalah sebuah pusat perkembangan berteraskan muzik kanak-kanak yang bertempat di rumah kedai di Taman Bukit Rahman Putra, Sg Buloh, Selangor. Cik Siew Ling, selaku pengasas serta pengetua kepada pusat tersebut datang menyambut kedatangan kami dengan teruja. Sesi temu ramah dilakukan di sebuah cafe berada di bawah studio Polka Dot.
Cik Siew Ling adalah seorang pendidik muzik yang menjiwai kerjanya. Temu ramah dimulai dengan Cik Siew menceritakan perjalanan beliau menjadi pendidik muzik yang khusus dalam pendidikan awal kanak-kanak. Di bawah ini, adalah transkrip temu ramah kami bersama beliau.
Siew Ling: Ia bermula dari kasih saya kepada keluarga saya, iaitu anak saya dan suami saya. Atas kasih tersebut, saya bertindak untuk berhenti bekerja sebagai juruaudit di sebuah syarikat multinasional. Saya telah bekerja di situ selama 10 tahun. Keputusan tersebut diambil kerana saya mahu meluangkan lebih masa bersama keluarga saya. Tujuan asal saya adalah untuk membuka sebuah kindergarten saya sendiri, di mana saya sendiri akan mendidik anak saya pada ketika itu. Berpegang kepada cita-cita tersebut, saya seterusnya belajar dan berusaha mendapatkan diploma dalam pendidikan Montessori. Sungguhpun begitu, tidak lama kemudiannya, saya sedar, mengendali kindergarten tidak memberikan masa yang secukupnya ntuk saya meluangkan bersama keluarga saya.
Mujurlah saya berkelulusan dalam muzik. Praktikal serta teori. Memperolehi Gred 8 piano saya seawal 19 tahun. Jadi, saya beranggapan, dengan kelulusan dan bakat yang saya ada ini, saya boleh menjadi cikgu piano di kawasan saya.
Siew Ling: Sebagai guru piano, saya melihat ramai kanak-kanak yang hadir untuk belajar piano masih lemah dalam asas muzik. Apa yang telah berlaku, dan efektif 25 tahun yang dahulu, tidak mungkin masih efektif untuk kanak-kanak di abad ke-21. Sebagai ibu, saya sedar bahawa mengenali kanak-kanak dan mengenali muzik adalah dua domain yang sangat berbeza. Saya perlu memahami bagaimana kanak-kanak mempelajari muzik. Saya percaya, hampir semua kanak-kanak sukakan muzik. Dengan cara yang betul, nescaya kanak-kanak ini akan berjaya pergi jauh dalam muzik.
Perjalanan saya mencari kurikulum muzik untuk kanak-kanak yang sesuai telah membawa saya ke Musikgarten USA. Selepas menjalani latihan selama setahun, saya mula menawarkan kelas-kelas muzik mengikut umur, seawal bayi hingga 9 tahun. Dalam jangka masa 2 tahun, saya berasa yakin untuk membuka studio saya sendiri. Studio ini dibuka, dan diberi nama sebagai Polka Dot Train Studio.
Musikgarten adalah sebuah program muzik yang berhasrat untuk memperkembangkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk melahirkan seorang kanak-kanak yang benar-benar muzikal. Aktiviti-aktiviti yang ditawarkan adalah bertujuan bagi memupuk perkembangan kanak-kanak, sama ada dari aspek minda, fizikal, mahupun aspek rohani. Di Malaysia, terdapat 4 fasa utama Musikgarten yang diajar kepada kanak-kanak. Setiap fasa ini memberi penekanan kepada aspek nyanyian, tarian, pendengaran dan kebolehan bermain alat muzik yang biasa. Apa yang membezakan Musikgarten dengan program muzik kanak-kanak yang lain adalah kepelbagaian aras papan nada (keyboard). Elemen ini adalah unik kerana ia cuba menghubungkan kanak-kanak dengan aspek-aspek muzik yang lain, seperti nyanyian, tarian, pendengaran, pembacaan, penulisan, penghasilan melodi dan kemahiran bermain alat muzik.
Pendidikan muzik berasaskan Musikgarten akan berupaya membina asas muzik di dalam diri kanak-kanak. Aktiviti-aktiviti seperti berjalan, melompat, bermain dan menari akan membantu memperhalusi kemahiran koordinasi, deria ritma, frasa dan sebagainya. Menyanyi membantu kanak-kanak membezakan bunyi-bunyian, selain membina asas gaya dan sistem. Bermain alat muzik akan membantu kanak-kanak memahami pelbagai aspek-aspek muzik. Di dalam kelas Musikgarten, kanak-kanak akan mendengar, bercakap dan bermain dengan corak irama dan tonal. Di suatu masa, kita akan dapat melihat atau merasa kepahaman muzik mereka. Di sini, kesimpulan boleh dibuat mereka telah bersedia untuk bergerak ke fasa yang berikutnya. Mereka telah mula menyukai muzik. Mereka muzikal dan kini bersedia untuk mempelajari alat muzik, sama ada piano, violin, guitar, bass mahupun ukulele.
Sebaik sahaja tamat temu ramah kami, Cik Siew Ling membawa kami melawat studio beliau. Terdapat 5 bilik kelas secara keseluruhannya. Kesemua bilik ini adalah luas dan lengkap dengan peralatan muzik. Satu daripada 5 bilik ini boleh ditukar menjadi pentas persembahan. Cik Siew percaya bahawa keseronokan menulis muzik seafdalnya dikongsi bersama.
Apa cara yang lebih ideal untuk membuat perkongsian ini dengan acara muzik seperti resital-resital pada hari Ahad, di mana keluarga dan teman rapat boleh hadir menonton. Kesemua kanak-kanak, tanpa mengira umur atau tahap kepahaman, dialu-alukan menyertai resital ini.
Terdapat satu bilik besar khas untuk kelas-kelas Musikgarten. Bilik ini dicat dengan warna yang terang selain dilengkapi dengan alat-alat muzik. Papan-papan nada pelbagai saiz tersusun rapi.
Lawatan kami ke Polka Dot, dan semangat Cik Siew telah memberi inspirasi kepada kami. Tidak dinafikan lagi, dedikasi serta usaha gigih Cik Siew inilah yang telah meletak Polka Dot Train Studio di mana ia berada sekarang. Musikgarten adalah satu program yang ideal untuk kanak-kanak. Kasih Cik Siew kepada kanak-kanak, serta pendidikan inilah yang membezakan Polka Dot Train Studio dari kelas-kelas muzik yang lain.