by on 16/08/2017 2152
Matahari terbit menandakan bermulanya hari yang baru dan bandaraya Kuala Lumpur mula sibuk. Bumbung merah lambang The children’s house (TCH) Ampang mula kelihatan berkilauan akibat sinaran matahari. Bendera Malaysia yang berkibar megah di hadapan halaman bangunan kolonial putih ini kelihatan sungguh cantik.
TCH Ampang terletak di kawasan di mana letaknya beberapa pejabat perwakilan dan kedutaan komuniti antarabangsa di Kuala Lumpur. Selepas melepasi pintu depan yang dijaga oleh pengawal, saya terpegun kerana tidak menyangka bahawa TCH Ampang begitu cantik. Setibanya di sini, terlihat sebuah taman permainan dengan pelbagai alatan permainan seperti rumah kecil, papan gelongsor, buaian dan alatan memanjat. Secara kebetulan, saya tiba semasa waktu bermain. Saya lihat ramai kanak-kanak dan guru di halaman TCH Ampang. Ada yang sedang berlari-lari dan berkejar-kejaran. Ada pula yang sedang bermain papan gelongsor dan buaian. Kanak-kanak ini sentiasa diawasi oleh guru-guru bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini dan memastikan keselamatan kanak-kanak terjaga sepanjang masa. Guru-guru juga nampak ceria dan gembira ketika mengawasi kanak-kanak bermain.
Pengetua TCH Ampang ialah Madam Angeline Samuel. Dia lebih dikenali sebagai Aunty Angeline di kalangan kakitangan dan kanak-kanak TCH Ampang. Apakah petua Aunty Angeline mengendalikan kanak-kanak dalam setiap sesi pengambilan pelajar? “Pengalaman saya selama lima belas tahun serta memiliki anak sendiri telah banyak membantu saya!” jawab Aunty Angeline tersenyum manis.
Kanak-kanak meneroka dan mengalami pelbagai perkara baru setiap hari. Pada masa yang sama, mereka juga melalui pengalaman yang menyeronokkan.
Sebagai pusat pendidikan awal kanak-kanak pertama yang memperkenalkan Kaedah Montessori di Malaysia 30 tahun yang lalu, TCH merupakan diantara pusat pendidikan contoh yang tidak dapat dipertikaikan. TCH menyediakan persekitaran yang menggalakkan pembelajaran untuk memenuhi keperluan individu setiap kanak-kanak dari segi perkembangan fizikal, sosial, emosi dan intelektual. Program Montessori TCH dibahagikan kepada dua kategori iaitu Montessori Playgroup (merangkumi tahap Infant, Pre-Toddler dan Toddler untuk anak kecil berumur 3 bulan hingga 2 ½ tahun) serta kategori Montessori Junior (merangkumi tahap Nursery dan Preparatory untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun). Setiap program memberi tumpuan menyediakan kanak-kanak untuk tahap seterusnya. Nisbah guru-pelajar yang rendah di sini menjamin pembelajaran yang optimum. TCH juga menyemai rasa sayang terhadap manusia dan alam semula jadi dalam diri kanak-kanak. Dengan mengenali dan memahami dunia ini, kanak-kanak turut diajar mengenai kepelbagaian budaya, bangsa dan negara.
Kebanyakan kakitangan di TCH Ampang telah berkhidmat lebih dari 10 hingga 15 tahun! Guru di TCH mengamalkan sistem pementoran dan latihan semasa kerja. Amalan ini adalah amat baik kerana ia bukan sahaja meningkatkan kemahiran mengajar para guru, bahkan meningkatkan kemahiran insaniah (soft skills), persefahaman, kerja berpasukan (teamwork) serta sikap saling menerima dan menghormati antara satu sama lain. Besar kemungkinan inilah sebab utama guru-guru ini bertahan lama di sini.
Rekaan dan susun atur TCH Ampang adalah mengikut gaya rekaan yang tersendiri. Persekitaran di sini adalah selesa luas dan terang. Setiap bilik darjah dilengkapi dengan aparatus dan bahan pembelajaran Montessori.
Di antara kualiti The children’s house Ampang, setiap kanak-kanak di sini dilayan dengan penuh kasih sayang selain menyediakan pendidikan dan persekitaran yang terbaik dan kondusif.