by on 31/01/2024 339
Sorotan Utama |
|
Sri Kenanga Preschool, Bukit Jalil merupakan sebuah prasekolah dan tadika yang holistik yang menggabungkan pendekatan pedagogik yang pelbagai dengan pengalaman dunia sebenar untuk menggalakkan pembangunan yang komprehensif dalam diri kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun.
Sebagai cawangan ketiga Sri Kenanga—dan cawangan pertama mereka di luar Klang—sekolah di Bukit Jalil memiliki semangat komitmen terhadap pendidikan berkualiti, sama dengan cawangan-cawangan yang lain, selaras dengan jenama Sri Kenanga yang sememangnya terkenal di Klang selama tiga dekad lagi.
Peneraju sekolah, dan juga pengetuanya Carmen Yong, merupakan seorang pendidik yang berdedikasi dengan latar belakang pendidikan kanak-kanak awal dari Institut Teknologi Diraja Melbourne (RMIT).
“Selama ini, saya memang mempunyai minat yang mendalam terhadap mengajar dan berkongsi pengetahuan dengan orang lain,” kata Yong. “Semasa di bangku sekolah, saya menyertai kem cuti sekolah di mana kami ditugaskan membimbing anak-anak kecil. Saya berasa gembira dan puas melihat mereka belajar dan berkembang. Ia membangkitkan minat saya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak,” katanya lagi.
Selepas belajar dan bekerja di sekolah-sekolah Australia dan tempatan, Yong menyedari pentingnya akademik dan juga belajar sambil bermain untuk mewujudkan pengalaman pembelajaran yang seimbang.
Itulah sebabnya Sri Kenanga Preschool Bukit Jalil menggabungkan unsur-unsur Montessori, tematik, dan kurikulum kebangsaan yang disepadukan ke dalam sukatan pelajarannya. Kanak-kanak yang lebih muda menghabiskan lebih banyak masa dengan permainan berasaskan aktiviti, di samping belajar konsep asas seperti huruf dan nombor.
Kanak-kanak yang lebih besar pula secara beransur-ansur diperkenalkan kepada struktur yang lebih akademik, untuk membantu menyediakan mereka untuk memasuki sekolah kebangsaan, terutamanya sekolah aliran bahasa Cina (SJKC).
Bahan-bahan pembelajaran disediakan pihak sekolah sendiri, dan digunakan bersama-sama buku-buku cerita yang berbeza, sebahagian daripadanya menggabungkan Augmented Reality (AR) untuk mengalakkan pembelajaran dan kreativiti.
"Apakah cita-cita kamu?” Di Sri Kenanga, kanak-kanak boleh mencari jawapan untuk soalan ini di luar bilik darjah.
Menerusi lawatan sambil belajar ke premis yang berlainan, kanak-kanak boleh mengenali secara lebih mendalam tentang kerjaya dan persekitaran yang berbeza, menyediakan mereka untuk kehidupan dunia luar.
Sebagai contoh, sekolah pernah mengadakan lawatan ke klinik berhampiran, di mana kanak-kanak berjumpa dengan doktor dan jururawat, diberikan pengetahuan tentang skop kerja yang dilakukan mereka, alat-alat yang digunakan untuk mendiagnoskan pesakit, dan lain-lain lagi.
Lawatan-lawatan ini bukan sahaja membina rasa ingin tahu yang kuat dalam kanak-kanak, tetapi juga memberikan mereka pengetahuan tentang dunia luar, di samping mengurangkan rasa takut semasa berjumpa doktor.
Selain pembelajaran praktikal, kanak-kanak juga diajar kemahiran fizikal dan emosi, merangkumi benda-benda seperti teknik pernafasan, senaman untuk membantu mereka bersantai, dan juga cara-cara untuk berkomunikasi dengan rakan sebaya.
“Walaupun akademik sememangnya penting, kami juga ingin memberi tumpuan terhadap pembelajaran sosial dan emosi juga. Ini merangkumi benda-benda seperti cara untuk meluahkan perasaan mereka, meredhakan kemarahan, dan mengawal emosi mereka. Semua aspek-aspek ini sangat penting dan akan membantu mereka di masa hadapan,” kata Yong.
Persekitaran yang baik membina minda yang sihat, oleh itu Sri Kenanga Preschool Bukit Jalil dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang memenuhi keperluan setiap kanak-kanak untuk belajar dan berkembang secara menyeluruh.
Bangunan sekolah merangkumi tiga tingkat, dengan bilik darjah yang luas untuk belajar dan bermain. Reka bentuk dalaman mewujudkan suasana yang cerah dan gembira, dengan warna-warna yang lembut beserta perabot yang dibuat dari kayu.
Kemudahan-kemudahan di sini termasuklah kawasan aktiviti, perpustakaan, dan ruang khas untuk pembelajaran bahasa di tingkat dua. Tingkat tiga pula mempunyai taman permainan dalaman yang luas, ruang ‘messy play’, dan ruang ‘dress up’ di mana kanak-kanak boleh memainkan ‘peranan’ yang berlainan seperti bermain doktor, bomba, dan sebagainya.
Selaras dengan pendekatan pembelajaran mereka yang bertumpukan kanak-kanak, aktiviti permainan disesuaikan mengikut minat individu kanak-kanak. “Ada kanak-kanak yang sangat aktif, jadi mereka ingin menaiki gelongsor atau memanjat di taman permainan, tetapi ada juga kanak-kanak yang lebih suka menyertai aktiviti yang tidak begitu fizikal. Setiap kanak-kanak merupakan individu yang berlainan, jadi kami di sini menghormati dan memberikan mereka ruang yang selamat dan kondusif supaya mereka dapat mendalami minat masing-masing,” kata Yong.
Untuk keselamatan, CCTV dipasang di setiap bilik darjah dan ruang umum seperti koridor dan tangga. Sebagai langkah tambahan, bilik darjah dilengkapi dengan alat pembersihan udara bagi memastikan kebersihan kawasan tersebut.
Dalam penyediaan makanan, minyak, garam, dan gula dikurangkan dalam masakan untuk memastikan kanak-kanak mendapat khasiat yang seimbang. Alternatif yang lebih sihat sentiasa digunakan, contohnya, jem strawberi kurang gula menjadi pilihan berbanding dengan jem coklat yang mungkin mengandungi kandungan gula yang tinggi.
Ibu bapa menerima kemas kini mengenai kemajuan anak-anak mereka melalui aplikasi mobil Dibear, di mana mereka boleh melihat pengumuman dan gambar. Aplikasi ini juga memudahkan komunikasi melalui mesej dan membolehkan ibu bapa untuk memeriksa dengan mudah apabila anak-anak mreka telah tiba di sekolah, atau untuk memohon cuti sakit untuk mereka.
Sri Kenanga merupakan sekolah yang mengalu-alukan murid-murid dan memberikan pelbagai peluang untuk belajar dan meneroka mengikut minat kanak-kanak itu sendiri. Dengan menggabungkan pendekatan belajar sambil bermain, ditambahkan lagi dengan pengalaman yang imersif, sekolah ini sedia untuk membentuk masa hadapan yang cerah untuk anak-anak muda.