by on 15/01/2025 1423
Pusat Jagaan Bayi dan Kanak-kanak OWL adalah sebuah fasiliti yang telah ditubuhkan sejak lima tahun lalu, yang berusaha memenuhi keperluan emosi dan perkembangan kanak-kanak ketika tahun-tahun pertama kehidupan mereka dari 2 bulan hingga 4 tahun, selain merupakan keperluan jagaan kanak-kanak komuniti. Pada tahap awal ini, tumpuan tetap adalah terhadap perkembangan yang sihat, perlindungan emosi, sosialisasi dan pembelajaran kemahiran baharu. Menyedari bahawa pembelajaran awal dan jagaan kanak-kanak yang terbuka menjadi keutamaan ibu bapa, pusat ini menyediakan persekitaran memupuk yang menyokong kanak-kanak dalam merealisasikan potensi mereka sepenuhnya sementara memberikan keluarga ketenangan fikiran. Setiap kanak-kanak di bawah bumbungnya dijaga dengan baik sepertimana dilakukan oleh para ibu bapa untuk anak-anak mereka.
Sebagai seorang pensyarah pendidikan awal kanak-kanak, saya tahu kepentingan pendidikan awal untuk kanak-kanak yang paling banyak belajar sejak lahir hingga tiga tahun. Kanak-kanak yang mendapat permulaan yang baik dengan banyak peluang untuk meneroka dan bermain, prestasinya lebih baik di sekolah dan dalam kehidupan pada masa akan datang. Memastikan bahawa ibu bapa mempunyai akses kepada jagaan kanak-kanak sepenuh hari dan separuh hari yang berkualiti serta pilihan jagaan kecemasan (dicaj mengikut kadar harian) menjadikan rutin lebih mudah bagi ibu bapa berkerjaya yang sibuk.Cik Jaywen, pengasas bersama Pusat Jagaan Bayi & Kanak-kanak OWL
Tahun-tahun awal ini merupakan waktu kanak-kanak pertama kali mengalami terlalu banyak perkara baharu dan mengujakan daripada penglihatan dan pendengaran sehinggalah konsep berkongsi dan membantu. Sebagai pusat yang bukan sekadar jagaan harian, Pusat Jagaan Bayi & Kanak-kanak OWL menyediakan keseimbangan antara aktiviti bermain berstruktur dan tidak berstruktur serta aktiviti pembelajaran yang memupuk setiap kanak-kanak melalui semua tahap perkembangan. Mereka komited untuk bekerjasama dengan ibu bapa bagi memastikan pengalaman terbaik untuk kanak-kanak agar meletakkan asas yang kukuh untuk perkembangan, kesihatan dan kesejahteraan mereka pada tahun-tahun mendatang. Inilah yang membezakan Pusat Jagaan Bayi & Kanak-kanak OWL dengan kemudahan jagaan kanak-kanak tradisional.
Persekitaran yang selesa dan mengambil berat menggalakkan sifat ingin tahu semula jadi bayi dan kanak-kanak kecil serta membolehkan mereka untuk meneroka ruang di dalamnya dengan bebas. Terdapat bilik bayi dengan katil bayi yang diperibadikan supaya bayi berasa nyaman di dalamnya, dengan banyak ruang untuk waktu meniarap dan agar mereka dapat mencerap pemandangan dan bunyi di persekitaran. Kawasan kanak-kanak tatih mengambil ruang terbuka yang besar yang dibahagikan kepada sudut pembelajaran yang dipenuhi dengan permainan yang sesuai dengan usia, bahan pendidikan dan peralatan bersaiz kanak-kanak. Sudutnya disusun untuk menggalakkan aktiviti penemuan dalam kawasan seperti seni, sensori, membaca dan bermain peranan. Terdapat sudut berasingan untuk kanak-kanak duduk mendengar cerita atau menyampaikan cerita mereka sendiri, melakonkan peranan di kawasan bermain yang boleh disusun atur untuk kelihatan seperti restoran atau mana-mana pemandangan berkaitan dengan tema, melakukan sebarang lukisan bentuk bebas menggunakan kertas dan krayon, menyusun susun suai dan blok pembinaan, atau mengawal emosi mereka sendiri dengan tenang di sudut senyap. Ini sekadar menyebutkan beberapa sudut sahaja. Dari waktu menunggu guru untuk memberi arahan melakukan sesuatu sehinggalah waktu untuk melakukannya, suasana ini menggalakkan kanak-kanak meneroka dengan sendiri dan belajar melalui perbuatan.
Semua pengalaman membantu kanak-kanak mengasaskan rutin, menggalakkan penerokaan dan memperkukuh kemahiran, terutamanya keupayaan sosioemosi. Belajar cara untuk mengenal pasti dan mengawal sendiri emosi, mengekalkan hubungan yang sihat dan mengambil kira perspektif orang lain ialah kemahiran penting untuk kejayaan perkembangan yang menyeluruh.
Tanpa mengira tahap keupayaan, pasukan ini fleksibel dan kreatif tentang memenuhi keperluan semua kanak-kanak. Tiada sesiapa pun yang diletakkan dalam bilik darjah berasingan, malah kurikulumnya cukup fleksibel untuk membolehkan para guru mengubah suai metodologi yang mereka gunakan untuk disesuaikan dengan kadar pertumbuhan kanak-kanak yang berbeza. Para guru sentiasa merancang cara menggalakkan penyertaan dan menyokong kanak-kanak belajar secara berdikari setakat yang boleh.
Semua kakitangan Pusat Jagaan Bayi & Kanak-kanak OWL adalah profesional yang memiliki kelayakan yang diperlukan yang membuktikan kesesuaian mereka bekerja dengan kanak-kanak. Mereka mematuhi peraturan Kementerian, kesihatan dan kebakaran bagi meminimumkan sebarang mudarat atau risiko yang mungkin terjadi. Lebih terkedepan daripada peruntukan yang ditetapkan dalam dasar, kakitangan peka tentang kebersihan tangan dan langkah keselamatan seperti kawalan akses, kamera keselamatan dan protokol pelawat. Nutrisi juga aspek penting kurikulum. Pusat Jagaan Bayi & Kanak-kanak OWL menanamkan tabiat makan yang sihat sebagai peringatan bahawa anda adalah apa yang anda makan. Diet yang kaya nutrien dipastikan untuk membantu tubuh yang sedang berkembang pantas ini mempertingkat fungsi kognitif dan mengekalkan tenaga.
Kami sentiasa meletakkan kepentingan setiap kanak-kanak sebagai keutamaan kami yang paling tinggi. Kami tertunggu-tunggu untuk memulakan kerjasama dengan ibu bapa bagi membantu kanak-kanak membesar menjadi individu yang sihat, berdikari, yakin diri dan kreatif.Cik Jaywen, pengasas bersama Pusat Jagaan Bayi & Kanak-kanak OWL