by on 16/04/2024 206
Sorotan Utama |
|
Beaconhouse Preschool, Gamuda Gardens terletak di puncak sebuah bukit dan dikelilingi kehijauan, menawarkan suasana yang tenang untuk kanak-kanak berusia 18 bulan hingga enam tahun, di mana mereka boleh menerima pendidikan dan penjagaan yang berkualiti semasa peringkat yang paling formatif dalam kehidupan mereka.
Dibuka pada tahun 2022, sekolah yang dibina khas ini menawarkan suasana yang ekslusif, dengan kawasan sekolah yang luas serta kemudahan yang lengkap, yang direka khas untuk kanak-kanak.
Menerajui program-program di sekolah ialah pengetuanya Cik Thurga Lakshmanan, yang membawa pengalaman selama 15 tahun dalam bidang pendidikan. Beliau menekankan bahawa tumpuan sekolah bukan sahaja dari segi akademik, tetapi aspek-aspek lain juga.
“Perkembangan fizikal, sosial, dan emosi… semuanya amat penting. Kurikulum kami yang seimbang bertujuan untuk mendidik murid-murid kami secara menyeluruh, supaya mereka sedia untuk alam sekolah rendah, sama ada ke SK, SJK(C), mahupun sekolah antarabangsa,” kata beliau.
Moto Beaconhouse, iaitu “Play to Learn, Learn to Play:” (Belajar sambil Bermain, Bermain sambil Belajar” jelas diamalkan di sekolah Gamuda Gardens. Kurikulum sekolah menggabungkan pendekatan belajar sambil bermain, pembelajaran berasaskan inkuiri, dan juga kelas akademik yang berstruktur, dengan unsur-unsur dari Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dari Malaysia dan Early Years Foundation Stage (EYFS) dari UK.
Kelas-kelas di sini merangkumi matapelajaran teras seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, dan Matematik, di samping aspek perkembangan yang lain seperti komunikasi, bahasa dan literasi, kreativiti, dan banyak lagi.
Termasuk dalam kurikulum adalah sesi muzik dan gim, dan Cik Thurga juga berkata bahawa sekolah baru sahaja membuka kelas Agama bagi murid-murid beragama Islam.
Kanak-kanak kecil menggunakan bahan-bahan sensori dalam pembelajaran mereka, dan guru-guru pula menggunakan alatan mengajar seperti mainan dan kad flash untuk menarik minat mereka. Aktiviti Montessori seperti permainan air (water play), permainan pasir (sand play), dan menggunakan kapit (pegging) digunakan bagi membina daya motor halus dan kasar kanak-kanak.
Bilangan murid yang kecil dalam setiap kelas, dengan ratio satu guru untuk setiap lima kanak-kanak dalam kumpulan junior, dan satu guru untuk 18 kanak-kanak dalam kumpulan senior, memastikan setiap kanak-kanak menerima perhatian dan sokongan yang secukupnya. Untuk membantu proses pembelajaran mereka, bilik darjah menerima cahaya dan udara segar yang secukupnya, malah perabot yang digunakan juga selamat dan sesuai untuk kanak-kanak.
Selain itu, Beaconhouse Preschool Gamuda Gardens membezakan dirinya dari prasekolah yang lain kerana ianya dekat dengan alam semulajadi. Lokasinya yang jauh sedikit dari kawasan bandar memastikan bahawa setiap pengunjung ke sekolah dialu-alukan dengan udara yang bersih dan segar, malah anda dapat juga mendengar kicauan burung semasa melawat ke sekolah.
Kawasan luar sekolah yang luas mempunyai lanskap yang cantik, dan terdapat juga taman permainan luar di mana kanak-kanak dapat bermain dan melakukan senaman. Kemudahan yang lain termasuklah sebuah taman eko, di mana kanak-kanak boleh melakukan aktiviti menanam sayur seperti tembikai, cili, dan terung.
Beaconhouse Preschool Gamuda Gardens memahami kesulitan ibu bapa yang sibuk dengan pekerjaan masing-masing; oleh itu, prasekolah ini menawarkan program yang fleksibel bagi memenuhi keperluan keluarga, termasuklah program separuh hari (8.30 pagi hingga 12.30 petang), program harian (8.30 pagi hingga 6 petang), dan program lanjutan.
Program lanjutan ini memanfaatkan ibubapa yang mempunyai jadual yang penuh, kerana ianya memastikan bahawa kanak-kanak menerima pengalaman yang menggayakan sehingga pukul 2 petang, termasuklah aktiviti membaca dan menulis, di luar masa bilik darjah yang biasa.
Ibu bapa juga tidak perlu bimbang makan minum kanak-kanak diuruskan untuk program lanjutan dan juga program harian.
Makanan dimasak setiap hari di dapur utama, kemudian ianya dihantar ke sekolah-sekolah Beaconhouse di seluruh Lembah Klang, bagi memastikan kebersihan dan juga kualiti yang konsisten. Menu makanan merangkumi makanan yang berkhasiat, dan bebas dari kandungan gula yang tinggi, supaya setiap kanak-kanak mendapat tenaga dan nutrisi yang diperlukan untuk tumbesaran sihat.
Cik Thurga percaya bahawa ibubapa dan guru perlu mempunyai komunikasi terbuka serta pendekatan yang kolaboratif bagi menyokong pembelajaran kanak-kanak.
“Sebagai sekolah yang agak baru, kami sentiasa menhargai sebarang maklum balas dari ibubapa untuk kami meningkatkan kualiti kami,” kata Cik Thurga. Ibu bapa menerima kemas kini kemajuan anak-anak mereka melalui applikasi LittleLives dan juga perjumpaan ibu bapa dan guru.
Manakala aktiviti seperti hari sukan, konsert tahunan, dan sambutan perayaan membina semangat kejiranan dan inklusif.
“Gamuda Gardens merupakan kejiranan yang baru dan didiami masyarakat majmuk dari pelbagai latar belakang. Kami ada mengadakan rumah terbuka untuk sambutan Tahun Baru Cina, dan amat sukacita apabila ramai ibubapa hadir untuk sambutan tersebut. Kami gembira kerana terdapat semangat kejiranan dan komuniti yang teguh di sini, kerana ianya juga akan mempengaruhi pembelajaran kanak-kanak dan membekalkan suasana yang bagus untuk mereka,” kata beliau lagi.
Visi Cik Thurga untuk Beaconhouse Preschool Gamuda Gardens adalah untuk menjadikannya sebuah institusi pendidikan yang boleh dipercayai para ibu bapa sebagai tempat di mana anak-anak mereka selamat dan menerima sokongan yang perlu dalam pendidikan mereka. “Pendidikan awal kanak-kanak merupakan sesuatu yang amat istimewa, itulah sebab kami akan meraikan pencapaian setiap anak murid, tidak kira apa pencapaian tersebut. Ilmu dan kemahiran yang dipelajari anak-anak di sini pasti akan membantu mereka pada masa hadapan,” kata Cik Thurga.