by on 23/02/2023 617
Sorotan Utama |
|
Semangat serta kesabaran amat diperlukan semasa mengajar kanak-kanak. Jika cabaran tidak mencukupi bagi kanak-kanak, mungkin timbulnya kebosanan serta kehilangan motivasi. Jika terlalu dicabar pula, seseorang kanak-kanak mungkin akan menolak aktiviti berkenaan dan menjauhi diri.Seorang guru patut peka kepada keperluan individu kanak-kanak supaya keseimbangan yang betul dapat dicapai. - Kenyataan ini dikongsi oleh Marisa, salah seorang pengasas prasekolah Montessori yang dikenali sebagai Young Thinkers, semasa bertemu ramah dengan Kiddy123 baru-baru ini. Pemahamannya yang mendalam mengenai keperluan kanak-kanak dari segi pendidikan awal jelas digambarkan di atas, dimana beliau berusaha untuk menyampaikan kesemuanya bersama-sama dengan pasukan pengajarnya melalui kaedah Montessori yang amat tersohor.
“Semasa saya mula-mula menjadi guru prasekolah sekitar tahun lapan puluhan, masih belum terdapat banyak prasekolah Montessori di Malaysia,” kata Marisa, yang memegang Diploma Montessori. Beliau bertuah kerana dapat pekerjaan sebagai guru di sebuah prasekolah Montessori yang mengamalkan kaedah pengajaran, falsafah dan pendekatan tersebut. Ia merupakan falsafah serta kaedah pengajaran yang membawa kegembiraan kepadanya sehingga hari ini.
Ramai ibu bapa mungkin mengalami perbahasan dalaman mengenai pendekatan prasekolah dan kaedah pengajaran yang paling sesuai untuk anak mereka. Pasti tiada antara mereka yang dapat lari daripada persoalan mengenai pendidikan Montessori. Bagaimanakah dapat anda mentakrifkan Montessori sebagai pedagogi pengajaran, dan apakah faedah mendaftarkan anak anda di Young Thinkers?
Montessori, seperti yang dijelaskan oleh Marisa, jauh melebihi sebuah kaedah pengajaran. Ia merupakan sejenis cara hidup. Menggunakan kaedah pendidikan Montessori, mata-mata pelajaran yang diliputi di Young Thinkers ialah Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Kemahiran Hidup Praktikal, Kerja Nombor, Kemahiran Sensorial, dan Budaya. "Apa yang kami ingin mencapai adalah melengkapi kanak-kanak dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam persekitaran yang sesuai, selesa, dan mesra kanak-kanak, untuk perjalanan mereka melalui sekolah dan alam dewasa yang akan datang," katanya. Beliau menambah bahawa peralatan Montessori juga memainkan peranan yang besar dalam pembelajaran dan pembangunan harian kanak-kanak di Young Thinkers. “Hanya memperoleh bahan-bahan ini tidak mencukupi jika kanak-kanak tidak tahu cara menggunakannya dengan betul. Guru mempunyai peranan untuk membimbing kanak-kanak menggunakan bahan-bahan ini, yang merupakan alat-alat pembelajaran yang penting dalam sebuah bilik darjah Montessori."
Menyebut tentang bilik darjah, di Young Thinkers semuanya dikekalkan pada nisbah pelajar dan guru yang sangat kecil. Ini dapat memastikan kanak-kanak mendapat perhatian dan bimbingan individu yang sewajarnya semasa tempoh pembelajaran kritikal mereka itu. Di Young Thinkers, para guru dikehendaki memerhati setiap kanak-kanak dengan teliti untuk memastikan kekuatan dan kelemahan masing-masing. Seterusnya, kekuatan mereka dapat dibina, manakala kelemahan mereka dapat ditangani. Tiada dua kanak-kanak yang serupa, dan, setiap kanak-kanak mempunyai bakat terpendam yang dapat dicungkil. Apabila ditanya bagaimana guru-guru Young Thinkers menangani tugas masing-masing untuk memenuhi keperluan pembelajaran setiap kanak-kanak yang nyata mencabar, Marisa hanya menjawab, "Tanpa penat!"
Sebagai prasekolah Montessori, Young Thinkers menyediakan persekitaran kondusif yang memanfaatkan tempoh pembelajaran paling kritikal kanak-kanak. Dengan penjagaan dan perhatian yang diterima, seorang kanak-kanak yang menghadiri Young Thinkers mempunyai kelebihan untuk memulakan pendidikannya dengan penuh semangat, tanpa berasa bosan atau tawar hati.
Persekitaran di Young Thinkers adalah teratur namun bersifat santai, dan ia menampilkan suasana yang menyenangkan dan amat selesa bagi kanak-kanak. Walaupun membina asas yang kukuh melalui pendidikan awal untuk kanak-kanak adalah amat penting, namun menekan kanak-kanak untuk belajar tiada faedahnya. Pendidikan awal yang terbaik atau bersifat positif adalah di mana kanak-kanak teringin untuk mengambil bahagian, belajar dan melakukan penemuan sendiri, dan demikianlah yang boleh diharapkan di Young Thinkers. “Saya tidak ingin melihat mana-mana anak (sama ada anak saya atau anak orang lain) dibandingkan dengan kanak-kanak lain, atau, berasa tertekan untuk melakukan yang lebih baik disebabkan perbandingan atau perkara-perkara lain. Di Young Thinkers, kita mempunyai tugas sebagai Montessorians untuk membantu kanak-kanak mencapai potensi tertinggi mereka pada taraf yang paling selesa untuk mereka, "hujah Marisa dengan sesungguhnya. Kami di Kiddy123 amat bersetuju dengannya mengenai perkara itu.
Matlamat utama pendidikan prasekolah yang baik adalah untuk menyediakan kanak-kanak untuk menghadapi masa depan, melalui pengalaman persekolahan dan seterusnya. “Kegembiraan terbesar saya sebagai seorang pendidik adalah semasa saya menyaksikan para graduan Young Thinkers muncul sebagai individu-individu muda yang berdikari, bermotivasikan diri yang gemar terus belajar, apatah lagi dengan sikap positif dan keyakinan diri masing-masing!” kata Marisa sebagai penutup.