by on 12/09/2019 1848
Sorotan Utama |
|
Pusat Penjagaan Kanak-kanak Tree Dolphin adalah sebuah pusat penjagaan dan pendidikan yang lengkap dan dilesenkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pusat penjagaan ini dibuka dari 7:45 pagi sehingga 6:30 petang dan menyediakan perkhidmatan untuk kanak-kanak berusia tiga bulan sehingga enam tahun. Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk penjagaan harian dan penjagaan selepas persekolahan untuk kanak-kanak. Sebagai kemudahan tambahan, Pusat Penjagaan Kanak-kanak Tree Dolphin menawarkan pelbagai pilihan penjagaan, termasuk penjagaan fleksi dan penjagaan hujung minggu, supaya sesuai dengan keperluan mana-mana keluarga.
Pusat ini dibahagikan kepada dua bilik; satunya dengan ruang terbuka yang besar dan dilengkapi taman permainan dalam, sudut pembacaan dan struktur kecil berlubang yang dipenuhi bahan pembelajaran mengikut usia; satu bilik lagi bersusun kemas dengan katil budak yang amat sesuai untuk bayi. Ia dimiliki dan dikendalikan oleh Cik Cindy, seorang pendidik dengan lebih sepuluh tahun pengalaman dalam penjagaan kanak-kanak dan dunia tadika. Pasukan yang mengendalikan pusat ini sedar mengenai kepentingan permulaan yang baik dan menumpukan perhatian kepada mencipta persekitaran yang prihatin di mana kanak-kanak boleh berkembang dan bersedia untuk pembelajaran sepanjang hayat.
Program ini direka bentuk bagi menyokong kanak-kanak mencapai hasil pembelajaran yang diinspirasikan oleh Playgroup Victoria Australia. Matlamat para pendidik adalah untuk sedaya upaya menyediakan penjagaan berkualiti tinggi yang bertimbang rasa dan fleksibel untuk keperluan individual semua kanak-kanak dan keluarga mereka. Mereka memiliki kepercayaan teguh bahawa setiap kanak-kanak perlu dibenarkan untuk mengembangkan individualisme, kekuatan unik dan nilai diri mereka. Seluruh persekitaran adalah terbuka, mesra dan menghargai unit kekeluargaan dalam sebarang keputusan polisi pusat ini.
Ia bukan hanya sekadar pusat penjagaan kanak-kanak. Kanak-kanak menerima perhatian secara individu untuk menyokong pembelajaran dan perkembangan mereka. Para pendidik di sini mengakui kepentingan pembelajaran melalui permainan dan komited terhadap penjagaan menyeluruh seseorang kanak-kanak. Melalui pengalaman seronok dan penuh kenikmatan, kanak-kanak digalakkan untuk menjadi pelajar yang mampu mengharungid kurikulum celik huruf, celik angka, bahasa, muzik, seni, pergerakan dan kemahiran sosial. Melalui aktiviti bermain yang bermakna, kanak-kanak dapat mencuba idea baharu dan bereksperimen berbanding dengan hanya mendengar arahan dan fakta secara pasif. Peluang diberikan kepada kanak-kanak untuk menghidupkan cerita melalui persembahan drama, terlibat dalam aktiviti yang memanfaatkan seluruh badan bagi menggalakkan perkembangan otot, membina keupayaan bahasa mereka, menjalankan eksperimen sains mudah, bekerjasama dalam aktiviti permainan berpasukan dan banyak lagi. Kelas pergerakan kreatif daripada Hub Kreatif Polka Dot dan kelas drama daripada Pyjama Drama membolehkan kanak-kanak berimaginasi dan bermain dengan kemungkinan berbeza.
Para pendidik mencari jalan untuk mengajar kanak-kanak kecil ini bahawa pembelajaran bukan sahaja aktiviti formal tetapi masa mengujakan untuk bertanya soalan, bekerjasama dengan rakan-rakan, mengembangkan pelbagai pengetahuan dan sekadar berseronok! Juga terdapat fokus tinggi dalam menyebatikan pembangunan karakter ke dalam program kerana apa yang dipelajari kanak-kanak pada masa kini boleh membentuk karakter mereka untuk selama-lamanya.
Selain itu, Tree Dolphin menggunakan program pendidikan yang menyeronokkan oleh MiKids. Program-program ini dipandu oleh prinsip pengajaran Kecerdasan Pelbagai Dr. Howard Gardner. Oleh itu, mereka memasukkan unsur linguistik, logik dan muzik kepada mereka. Tambahan pula, mereka mempunyai banyak buku aktiviti, e-kad imbas dan pelbagai sumber pengajaran multimedia yang menyeronokkan untuk kanak-kanak belajar.
Struktur yuran termasuk makanan berkhasiat yang disediakan secara dalaman untuk kanak-kanak yang sedang membesar dan berfokus kepada penggunaan sayur-sayuran dan buah-buahan segar. Menu ditukar secara kerap supaya kanak-kanak terdedah kepada banyak jenis makanan dan tekstur.
Di Pusat Penjagaan Kanak-kanak Tree Dolphin, pasukannya berusaha untuk membangunkan kepercayaan dan kebertanggungjawaban dalam semua bentuk perhubungan. Komunikasinya terbuka; para pendidik merekodkan pencapaian kanak-kanak dalam buku log, menyediakan ibu bapa dengan rumusan harian kemajuan kanak-kanak dan pengalaman penjagaan harian. Seluruhnya dengan tujuan mencipta persekitaran mesra dan meraikan, tempat yang membuat kanak-kanak dan ibu bapa berasa seperti berada di rumah. Bagi mencapai hasrat ini, pasukan pusat penjagaan bersikap mudah didekati dan menerima maklum balas daripada ibu bapa yang terlibat. Ini juga melibatkan penyediaan kanak-kanak dengan sokongan emosi secara tekal, membantu mereka mengembangkan kemahiran yang diperlukan untuk berinteraksi dengan orang lain dengan cara positif. Pasukan ini bertindak balas secara proaktif kepada mana-mana halangan pembelajaran yang dihadapi oleh kanak-kanak dalam perkembangan pendidikan mereka bagi memastikan asas kehidupan dan minat belajar dapat terbentuk.