by on 17/04/2024 146
Sorotan Utama |
|
Pengalaman pembelajaran yang menyeluruh dan holistik menanti murid-murid di Small Wonder Malaysia, Eco Ardence (sebelumnya dikenali sebagai Treemendous Ardence).
Terletak di Ardence Labs, sebuah pusat komuniti yang rancak di Setia Alam, sekolah ini mempunyai hubungan yang baik dengan komuniti tempatan sebagai sebuah institusi pendidikan yang dipercayai – tambahan lagi dengan penyertaan mereka dalam kumpulan pendidikan Busy Bees yang terkemuka, yang bakal meningkatkan martabat sekolah ke tahap yang lebih hebat lagi.
Peneraju di Small Wonder Malaysia, Eco Ardence merupakan pasangan adik beradik, Cik Sophia dan Elly Chong, yang masing-masing merupakan pengetua besar dan pengetua kanan sekolah.
Pasangan adik beradik ini mempunyai latar belakang yang berlainan, iaitu dari bidang IT dan sains biomedikal, tetapi setelah menceburi bidang pendidikan awal sejak tahun 2012, mereka tidak pernah menoleh ke belakang lagi. Semangat berkobar-kobar mereka terhadap pendidikan awal jelas terlihat dalam cara mereka mengendalikan operasi tadika ini, dari kurikulum yang seimbang sehinggalah kemudahan sekolah yang lengkap, yang sesuai untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun.
Small Wonder Malaysia, Eco Ardence menawarkan program separuh hari dan program harian penuh, sesuai untuk golongan ibu bapa yang bekerja, yang ingin mencari sebuah persekitaran yang selamat dan kondusif di mana anak-anak mereka dapat belajar dan berkembang.
Kurikulum di sekolah ini berdasarkan pendekatan berasaskan bimbingan guru dan juga minat kanak-kanak itu sendiri, dan menerapkan falsafah Montessori, pengajaran secara tematik, sudut pembelajaran, dan juga pembelajaran berasaskan projek, di samping juga unsur-unsur dari Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).
Dari segi akademik, sekolah menitikberatkan kemahiran bahasa dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, dan Bahasa Mandarin, bagi menyediakan kanak-kanak untuk sekolah rendah kebangsaan dan juga jenis kebangsaan. Namun begitu, Cik Sophia menekankan bahawa kanak-kanak dapat menyerap ilmu dengan lebih baik apabila mereka berasa seronok dan gembira untuk belajar – oleh itu, sekolah kerap mengadakan pelbagai aktiviti yang menarik seperti muzik dan tarian, aktiviti role-play, seni dan kraft, dan lain-lain lagi.
Muzik diterapkan dalam kurikulum untuk semua lapisan pelajar, tidak mengira umur. Cik Elly, yang merupakan ketua program muzik di sekolah, percaya bahawa belajar muzik dapat membekalkan manfaat kepada kanak-kanak, termasuklah mengembangkan kemahiran motor halus serta meningkatkan daya koordinasi mereka. Kelas muzik diadakan setiap minggu, di mana kanak-kanak belajar tentang penhargaan muzik, ritma dan irama, pergerakan, dan cara untuk bermain alatan muzik gendering (percussion). Manakala kelas penggayaan pada waktu petang pula meliputi drama dan perbahasan, kelas ukulele, tarian, dan juga program kepimpinan.
Salah satu ciri ulung di Small Wonder Malaysia, Eco Ardence ialah pembelajaran berasasakan projek, atau project-based learning (PBL) untuk murid-murid yang lebih tua.
Pengajaran secara tematik adalah berasaskan perkongsian ilmu, di mana guru-guru menetapkan objektif pembelajaran dan pemberian ilmu adalah proses yang sehala, manakala pembelajaran berasaskan projek pula memberi ruang kepada kanak-kanak untuk mendalami minat masing-masing, tetapi masih berlandaskan peraturan dalam kelas.
Cik Sophia memberi contoh sebuah sesi PDL ini, di mana kanak-kanak menyertai rombongan sambil belajar ke Ardence Labs dan mengetahui dengan lebih lanjut tentang jenis-jenis kedai yang terdapat di pusat komuniti tersebut.
“Kami (guru-guru) menyangka bahawa murid-murid akan lebih minat terhadap kedai runcit atau farmasi, kerana ibu bapa lebih biasa membawa mereka mengunjungi tempat-tempat ini. Tetapi tidak tersangka yang mereka menunjukkan minat terhadap sebuah kedai lot yang kosong pula. Mereka mendapat idea untuk ‘membuka’ sebuah kedai mainan. Perbincangan ini membawa kepada lebih banyak idea – jadi salah satu kelas kami membuat layang-layang mereka sendiri untuk ‘dijual’ di kedai, manakala kelas yang lain pula membuat reka bentuk penampilan kedai tersebut,” jelas Cik Sophia.
“Aktiviti-aktiviti seperti ini membantu kanak-kanak membina kemahiran penyelesaian masalah mereka, kerana wujudnya banyak peluang untuk mereka membuat perbincangan, bekerja dalam kumpulan, atau sebagai pemimpin kumpulan masing-masing. Mereka dapat meluahkan perasaan mereka di samping membina daya pemikiran kritis mereka,” kata beliau lagi.
Cara lain sekolah ini memupuk pembelajaran secara berdikari adalah melalui sudut pembelajaran (learning corners) , yang dibahagikan menurut tema. Sudut penemuan (Discovery), contohnya, adalah berdasarkan tema sains dan geografi, manakala sudut konstruktif pula mempunyai blok-blok pembinaan yang mengalakkan kanak-kanak untuk membina struktur mereka sendiri berdasarkan kreativiti mereka.
Setiap ruang di sekolah ini direka khas untuk memenuhi fungsi tertentu, seperti pameran-pameran seni yang terpampang di seluruh sekolah – projek hasil kerjasama murid-murid dan keluarga masing-masing, yang menunjukkan kesahihan hubungan erat dalam kalangan guru, ibubapa, dan juga murid-murid sekolah.
Ruang di tengah sekolah merangkumi sebuah ruang permainan pasir dan taman dalaman yang luas. Selain itu, terdapat juga sebuah atelier yang besar yang menerima cahaya matahari yang secukupnya, dan dilengkapi kaunter dapur yang disesuaikan kepada ketinggian kanak-kanak, di mana mereka boleh menyertai aktiviti masakan.
Terdapat juga sebuah tangga yang luas, yang boleh dijadikan sebuah auditorium dengan projektornya sendiri, dan sekeping papan hitam yang memenuhi ruang di sebelah tangga, di mana kanak-kanak dapat melukis dan menulis secara bebas. Idea di sebalik reka bentuk ini adalah untuk mewujudkan ruang-ruang di antara bilik darjah di mana murid-murid dapat melakukan aktiviti yang bermakna dan kondusif untuk pembelajaran mereka.
Tenaga pengajar yang berdedikasi serta konsisten merupakan salah satu sebab mengapa sekolah ini mendapat kepercayaan ibu bapa berulangkali. “Salah satu alumni kami kini sudah berada di sekolah menengah, dan ibubapa pelajar tersebut telah menghantar anak mereka yang kedua ke tadika kami sekali lagi,” kata Cik Sophia.
Kadar pusing ganti dalam kalangan guru amat rendah, dan sekolah ini telah membina asas kepercayaan yang kukuh dengan komuniti di sekitarnya. “Sekolah kami dulunya terletak di sebuah taman perumahan, dan kami mengikut kaedah pengajaran secara tematik sahaja. Menjelang tahun, kami telah menambahbaik pedagogi yang kami amalkan, dan setelah berpindah ke bangunan baru di Eco Ardence tiga tahun yang lalu, berkat ruang yang lebih luas, kami dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan positif untuk murid-murid kami,” tambah beliau.