by on 22/01/2025 42
Sorotan Utama |
|
Apabila kita membincangkan perkembangan kanak-kanak, ibubapa seringkali akan memberi tumpuan kepada aspek seperti kebolehan kanak-kanak untuk membaca dan menulis serta pencapaian mereka di sekolah. Tetapi dalam proses ini, keperluan emosi dan tingkah laku kanak-kanak tersebut sering dipinggirkan—walaupun aspek-aspek ini amat penting bagi memastikan kanak-kanak tersebut dapat berkembang secara holistik.
Seed Connections Child & Family Psychology and Learning Centre, Bukit Jalil menawarkan pelbagai perkhidmatan psikologi dan pembelajaran untuk kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa. Direktor pusat tersebut, Cik Ju Li berkongsi bahawa pusat itu dibuka kerana beliau ingin mengurangkan jurang yang sedia ada dalam memahami keperluan emosi dan bagaimana ia dikaitkan dengan perkembangan kanak-kanak.
Cik Ju Li, seorang bekas pensyarah dalam bidang psikologi, pernah menemui pelajar-pelajar yang mempunyai masalah emosi dan tingkah laku hasil dari pengalaman mereka semasa zaman kanak-kanak – dan beliau mula berfikir tentang bagaimana beliau dapat membantu individu-individu ini.
“Saya sedar bahawa terdapat banyak yang kita sebagai orang dewasa tidak tahu tentang keperluan emosi kanak-kanak,” kata beliau. “Kita ingat kita faham apa yang mereka perlukan tetapi pemikiran ini dari perspektif kita sendiri, dan bukan dari lensa kanak-kanak itu sendiri.” Kesedaran ini membawa kepada pembukaan pusat Seed Connections.
Pada peringkat awal, Seed Connections hanya menawarkan program terapi permainan (play therapy) sahaja, tetapi mereka telah mengembangkan servis yang ditawarkan kepada program-program yang lain. Salah satu program utama mereka adalah Program Intervensi Awal (Early Intervention Programme, atau EIP) – yang juga dikenali sebagai Inclusive Learning Club (ILC), direka khas untuk kanak-kanak berusia 3 hingga 7 tahun. Program ini bertujuan untuk membina kemahiran asas bagi membantu kanak-kanak mengintegrasi semula ke sekolah biasa atau persekitaran yang inklusif. Kelas-kelas di bawah program ini direka khas untuk memenuhi keperluan individu kanak-kanak tersebut dan dikendalikan secara 1:1.
Terapi Permainan (Play Therapy) kekal sebagai salah satu perkhidmatan utama Seed Connections. Pendekatan ini yang berdasarkan minat kanak-kanak menggunakan alatan seperti alas pasir, tanah liat, dan baju (dress-up) untuk membantu kanak-kanak meluahkan emosi mereka. “Terapi permainan bukan sahaja untuk kanak-kanak khas,” jelas Cik Ju Li. “Ia juga dapat membantu kanak-kanak biasa dalam isu seperti ketidakinginan untuk menghadiri sekolah, gangguan kecemasan sosial, ketakutan untuk ditinggal (attachment issues), atau cabaran mental dan emosi yang lain.”
Selain itu, program Membina Minda (Brain Builders) juga mendapat sokongan yang baik. Program ini bertujuan untuk mengembangkan fungsi eksekutif seperti tumpuan, organisasi, dan regulasi diri. Terbuka kepada kanak-kanak berusia 7 hingga 13 tahun, program ini menggabungkan aktiviti yang menarik dengan latihan membina kemahiran supaya pelajar-pelajar dapat berkembang dari segi akademik mahupun keperibadian mereka.
Cik Ju Li memberi contoh: “Ramai kanak-kanak bergelut dengan isu seperti terlupa membawa buku sekolah atau menyiapkan tugasan yang diberi. Di sini, kami mengajar mereka kemahiran-kemahiran seperti perancangan, organisasi, dan pemantauan diri. Kemahiran-kemahiran ini membantu mereka menyedari bahawa sebenarnya, segala alatan yang mereka perlukan untuk merancang aktiviti harian mereka secara efektif sudahpun tersedia dalam diri mereka.”
Pusat ini juga menawarkan program Kumpulan Permainan Sosial (Social Playgroups). Ianya terbuka kepada kanak-kanak khas dan bertujuan untuk membantu mereka bersosial dalam kumpulan kecil, kerana kursus lain seperti terapi dan EIP biasanya dikendalikan secara 1:1. Pada masa yang sama, kanak-kanak biasa boleh juga menyertain Playgroup, terutamanya jika mereka lebih introvert dan mempunyai kesukaran untuk bercampur gaul dengan kanak-kanak lain. “Tujuan program ini adalah untuk mewujudkan persekitran di mana kanak-kanak berasa selamat dalam kalangan rakan-rakan mereka, dan disokong supaya mereka dapat menjalin hubungan dengan rakan sebaya,” kongsi Cik Ju Li.
Proses untuk setiap kanak-kanak yang menghadiri Seed Connections bermula dengan sesi penilaian. Melalui gabungan pemerhatian tingkah laku dan temubual bersama ibubapa, pasukan Seed Connections dapat mendalami keperluan seseorang kanak-kanak. Untuk ibubapa yang mempunyai laporan dari pihak hospital atau pusat perkembangan yang lain, Seed Connections juga menawarkan sesi konsultasi untuk mengesyorkan intervensi yang sesuai.
Untuk kanak-kanak yang tidak memerlukan intervensi yang intensif, pusat ini menawarkan sokongan pembelajaran yang direka khas untuk keperluan mereka. “Sebagai contoh, kami ada program multi-sensori untuk membantu kanak-kanak memahami konsep yang mereka mungkin tidak faham di sekolah,” jelas Cik Ju Li.
Pasukan di Seed Connections tidak ramai tetapi mereka sangat berdedikasi dan terdiri dari ahli professional dari pelbagai bidang seperti psikologi pendidikan, psikologi klinikal, terapi permainan, dan kaunseling. Mereka bekerjasama dalam pelbagai disiplin supaya keperluan kanak-kanak dipenuhi. Mereka juga tidak hanya menggunakan satu model tetapi mengamalkan pendekatan integratif yang menggabungkan teknik seperti intervensi tingkah laku, terapi tingkah laku kognitif, dan seni ekspresif.
Keselamatan psikologi (Psychological safety) menjadi tumpuan di sini. “Kami memastikan kanak-kanak berasa dilihat dan didengar,” kata Cik Ju Li. “Ia bukan hanya tentang apa yang ibubapa ataupun pihak sekolah mahukan, tetapi memastikan kanak-kanak tersebut merasa selamat sebelum kami mulakan kerja intervensi.”
Seed Connections juga menyedari kepentingan melibatkan ibubapa dan keluarga dalam proses ini. Melalui sesi bimbingan dan bengkel, ibubapa dibimbing tentang cara untuk membantu anak-anak mereka di rumah.
Dalam proses Seed Connections terus berkembang sebagai pusat pembelajaran dan psikologi yang unggul, Cik Ju Li kekal komited terhadap visi mereka untuk memberikan lebih banyak impak dan membantu orang ramai. “Tujuan kami adalah untuk membantu kanak-kanak dan keluarga mereka untuk menghadapi apa jua cabaran dengan keyakinan,” kongsi beliau.