by on 20/01/2021 1085
Sorotan Utama |
---|
|
Melody Kindyland telah ditubuhkan 28 tahun yang lalu di Pulau Pinang dengan matlamat untuk memupuk pelajar sepanjang hayat yang serba boleh melalui kurikulum yang inovatif. Pada tahun 2018, Melody Kindyland membuka cawangannya yang ke-35, yang pertama di Lembah Kelang iaitu di The Cube Bandar Puteri Puchong. Ia menjadi kesinambungan kepada matlamatnya ketika sekolah yang pertama ditubuhkan dan memastikan tumpuan yang jelas terhadap kualiti pengalaman kanak-kanak prasekolah.
Bertempat di sebuah bangunan tiga tingkat, cawangan Puchong mempunyai ciri persekitaran yang direka dengan baik untuk menyokong keperluan kemajuan kanak-kanak ketika mereka membesar. Sekolah ini memiliki ruang terbuka yang lengkap dengan sudut pembelajaran yang dibina khas, dinding pembahagi boleh lipat yang dapat ditukar menjadi bilik darjah persendirian, kemudahan bersaiz kanak-kanak, bahan-bahan pengajaran yang disusun pada aras rendah di rak terbuka dan grid dinding besi, sebuah pentas serta halaman luar bilik darjah, sekadar menyatakan beberapa contoh sahaja.
Melody Kindyland bukan sebuah prasekolah yang tipikal. Kanak-kanak bukan sekadar melalui rutin harian yang tidak memberangsangkan di dalam sesebuah bilik darjah. Melalui keseimbangan antara aktiviti menarik, pembelajaran akademik dan perkembangan sosioemosi, kanak-kanak dibimbing berdasarkan kekuatan peribadi mereka untuk mencapai potensi mereka yang sepenuhnya.
Di sini, para guru menyepadukan pendekatan pendidikan awal kanak-kanak yang terbaik bagi memupuk perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh – dari segi intelektual, kognitif, sosial, emosi dan jasmani. Setelah bertahun lama, kurikulum telah berkembang menjadi berfokuskan masa depan, menyediakan kanak-kanak dengan asas kukuh yang boleh mereka gunakan sebagai landasan ketika mereka mengharungi dunia yang kini pesat berubah.
Salah satu komponen utama dalam program yang ditawarkan di prasekolah ini ialah pembelajaran abad ke-21. Ia merangkumi kandungan STREAM (Sains, Teknologi, Membaca, Kejuruteraan, Seni dan Matematik), pembelajaran berasaskan projek, pengajaran penemuan berpandu dan perkembangan kepintaran pelbagai bagi membantu kanak-kanak, bukan sahaja untuk memperoleh ilmu tetapi juga kemahiran yang diperlukan untuk berkembang pada masa depan.
Beralih daripada pembelajaran bentuk menghafal yang tradisional, kanak-kanak digalakkan untuk belajar melalui penemuan fakta dan hubungannya secara kendiri. Berbanding dengan hanya menghafal fakta, mereka bereksperimen dengan bahan-bahan yang berlainan dalam suasana yang berlainan dan bertanya soalan untuk meraih pemahaman tentang cara benda-benda berfungsi dalam kehidupan sebenar. Sepanjang proses ini, para guru yang terlatih memerhatikan kanak-kanak ini, mengenal pasti minat dan cara belajar mereka, dan kemudian menyediakan peluang yang sesuai bagi kanak-kanak ini meneroka dunia melalui aktiviti STREAM yang luas kepelbagaiannya. Aktiviti-aktiviti ini wujud dalam pelbagai bentuk:
Untuk kanak-kanak berusia antara 3 hingga 4 tahun, pengalaman STREAM muncul terutamanya daripada bermain dan penyertaan amali di sudut-sudut pembelajaran yang berlainan. Sudut-sudut ini ialah kawasan khusus yang dipenuhi dengan alat manipulatif, buku, bahan kesenian dan alatan pengajaran yang lain untuk meningkatkan pembelajaran kanak-kanak. Terdapat 8 sudut pembelajaran, iaitu Literasi (untuk perkembangan pembacaan, kemahiran fonetik dan bahasa), Pengiraan (untuk menggalakkan pembelajaran konseptual matematik peringkat awal), Kemahiran Hidup (untuk mengembangkan kemahiran motor halus dan sikap berdikari), Kreativiti (merangkumi seni & kraf serta mainan kotor bagi merangsang kreativiti), Muzik dan Pergerakan (untuk membantu minda dan tubuh badan kanak-kanak agar dapat bertindak seiring melalui lagu dan puisi kanak-kanak serta instrumen perkusi), Heuristik (melibatkan bermain secara terbuka dengan objek harian bagi merangsang deria dan imaginasi), Bermain Peranan (untuk melatih cara pernyataan diri) dan Taman Permainan (untuk melatih kemahiran motor kasar dan keseimbangan badan).
Bagi kanak-kanak yang lebih berusia, pendidikan STREAM diperluas degan projek yang menghubungkan pengetahuan konseptual dengan isu dan masalah di dunia sebenar. Projek ini memerlukan kanak-kanak berkongsi idea dalam kumpulan, bekerjasama bagi menyelesaikan masalah, menilai semula situasi bagi memastikan kejayaan serta mempersembahkan hasil akhir kepada khalayak. Dengan cara ini, kanak-kanak mengembangkan 4K – kreativiti, (pemikiran) kritis, komunikasi dan kolaborasi – supaya mereka dapat mengambil bahagian secara sepenuhnya dalam komuniti global hari ini.
Program teras turut melibatkan Bahasa Inggeris Cambridge, peluang mengutip pengalaman di luar bilik darjah, hari sukan dan konsert tahunan, perayaan kebudayaan bulanan, lawatan sambil belajar, kem musim cuti dan pertandingan dalaman yang memperkukuh keyakinan diri kanak-kanak serta kemahiran pengucapan awam. Selain itu, terdapat pula pilihan pelbagai pilihan program pengayaan, seperti pengucapan dan drama, Taekwondo, ukelele dan robotik bagi membantu kanak-kanak mengenal pasti bakat dan minat mereka.
Melody Kindyland adalah sebuah komuniti yang terdiri daripada kanak-kanak pendidikan awal prasekolah, ibu bapa dan guru yang dibentuk melalui kepercayaan dan kasih sayang. Setiap orang menggembleng tenaga bersama dalam perkongsian ke arah matlamat yang serupa iaitu memastikan pengalaman prasekolah terbaik dan memupuk pemimpin masa depan yang berdaya saing. Kanak-kanak di Melody Kindyland sudah dipersiap untuk memikirkan hal-hal yang lebih besar dan meletakkan matlamat yang lebih tinggi apabila mereka tamat persekolahan kelak.