by on 06/01/2020 1604
Membesar di Little Oak Tree merupakan pengalaman yang amat istimewa bagi si cilik. Tanpa mengira usia kanak-kanak tersebut ketika menyertai sekolah ini, mereka akan disediakan dengan pendidikan diperibadikan untuk mempersiap mereka supaya meraih yang terbaik daripada seluruh peluang dan cabaran yang bakal mendepani mereka dalam kehidupan. Selalu digambarkan sebagai sebuah keluarga, Little Oak Tree berbangga dengan perhubungan berkualiti yang wujud antara kanak-kanak, guru dan ibu bapa. Sekolah ini merupakan sebuah komuniti kecil tetapi mesra, dikuasakan oleh pasukan yang profesional dan dinamik. Tiada keraguan lagi bahawa kualiti pengajaran dan pembelajaranlah yang mendukung kejayaan kanak-kanak ini di sekolah.
Para guru adalah nyawa sekolah. Pasukan pengurusan menjalankan proses perekrutan yang ketat untuk pengambilan guru yang membawa pengkhususan unik ke bilik darjah. Mereka menganggap jagaan dan pendidikan kanak-kanak sebagai suatu kerjaya yang serius dan bertanggungjawab serta melabur dalam pendidikan berterusan. Dengan nisbah murid kepada guru yang rendah, setiap kanak-kanak memperoleh perhatian individu yang memenuhi keperluan setiap kanak-kanak yang berbeza. Apabila kanak-kanak membesar dan berkembang, para guru yang responsif memanfaatkan pelbagai strategi pengajaran untuk memperkaya segenap aspek kanak-kanak – sosial, emosi, kognitif dan fizikal. Para guru di sini memiliki minat mendalam yang sejati untuk membantu kanak-kanak menghadapi cabaran masing-masing dalam perjalanan pembelajaran. Mereka membantu kanak-kanak dengan penuh kasih sayang untuk meneroka bidang yang diminati dan membangunkan pelbagai jenis kemahiran. Mereka juga membimbing kanak-kanak untuk melahirkan pendapat dan bijak mengawal emosi masing-masing dengan lemah lembut. Setiap kanak-kanak akan berkembang hasil perhatian teliti yang dihalakan ke arah melahirkan pelajar yang ceria dan bekerjasama.
Setiap perincian prasekolah ini direka bentuk supaya sesuai dengan keperluan kanak-kanak pada usia tertentu dan menurut tahap masing-masing: daripada susun atur setiap ruang sehinggalah bahan pengajaran di bilik darjah, rentak pembelajaran harian dan kurikulum. Saban hari, kanak-kanak belajar mengikut jadual yang tetap dan mengikuti rutin mudah. Konsistensi ini membawa rasa selesa dan selamat dalam kehidupan kanak-kanak yang kemudiannya mengukuhkan keyakinan dan kreativiti mereka.
Para guru melibatkan kanak-kanak dalam pembelajaran melalui permainan sensori dan penerokaan aktif persekitaran mereka. Mereka menyokong perkembangan yang menepati garis panduan kerangka pendidikan prasekolah kebangsaan. Mereka juga memperkenalkan kemahiran berfikir aras tinggi kepada kanak-kanak sepanjang hari, menambahkan ketegasan intelek pada kurikulum. Disebabkan kanak-kanak bersifat ingin tahu secara semula jadi dan suka mempelajari perkara baharu, banyak aktiviti yang sejajar dengan minat mereka disertakan ke dalam program ini. Bahan yang berlainan dan kepelbagaian peluang serta pengalaman pembelajaran sama ada di dalam atau di luar bilik darjah, membolehkan kanak-kanak memperoleh ilmu melalui interaksi mereka dengan dunia di sekeliling mereka. Fokusnya terletak pada menggalakkan analisis, penaakulan, pemahaman, aplikasi dan penilaian dalam proses pembelajaran. Hasilnya, kanak-kanak lebih berdikari, menjadi pembuat keputusan yang lebih baik dan penyelesai masalah yang lebih kreatif. Kesemuanya merupakan sikap utama yang diperlukan untuk berjaya dengan baik di sekolah dan dalam kehidupan.
Sepertimana membangunkan kemahiran berfikir aras tinggi meletakkan asas untuk kehidupan yang lebih produktif, kanak-kanak di sini juga dipupuk dalam persekitaran yang memberi penekanan yang sama terhadap nutrisi dan kebersihan yang baik untuk hidup lebih sihat. Mereka membina kemahiran hemat diri yang sesuai dengan usia dan mempertingkat komunikasi mereka dengan sikap hormat, budi pekerti dan belas kasihan. Ibu bapa akan mendapati kanak-kanak mendapat manfaat yang amat banyak daripada pengalaman ini untuk transisi yang lebih mudah ke sekolah rendah. Little Oak Tree menceburi bidang pendidikan awal kanak-kanak, pembangunan profesional dan sokongan kekeluargaan untuk mendidik kanak-kanak cilik menjadi ahli masyarakat yang berguna, dengan minda dan jiwa yang terbuka.