on 24/01/2024 455
Sorotan Utama |
|
Terletak di kawasan perumahan dengan suasana yang tenang di Taman Pertama, Flying Kids Child Development Centre, Ipoh adalah sebuah sekolah keperluan khas untuk kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun yang mempunyai pelbagai keperluan khas. Ditubuhkan lebih sedekad lalu, cawangan ini merupakan cawangan Flying Kids yang pertama di luar Johor.
Apabila pengetua sekolah Charish Lo berpindah ke Ipoh bersama keluarganya, beliau mendapati bahawa sumber-sumber untuk pendidikan keperluan khas di kawasan itu adalah terhad, dan ramai ibu bapa sukar untuk mencari sokongan yang sesuai untuk anak-anak mereka yang telah didiagnosa dengan keperluan khas. Lo mempunyai ijazah sarjana dalam pendidikan khas dari Taiwan. Beliau juga berkhidmat sebagai guru dan penolong kanan di Johor selama sembilan tahun.
Untuk mengatasi kesenjangan ini, Lo membuka Flying Kids Child Development Centre, Ipoh, pada tahun 2020. Sejak itu, murid-murid dari pelbagai latar belakang, termasuklah kanak-kanak dengan autism, gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), sindrom Down, lumpuh otak (cerebral palsy), gangguan perasaan (mood disorder), masalah pembelajaran, dan lain-lain jenis masalah perkembangan.
Sekolah ini mengamalkan kurikulum pelbagai disiplin yang direka berdasarkan keupayaan individu kanak-kanak dan bukannya skim sekolah standard. Kelas dibahagikan kepada sesi pagi dan petang, dan meliputi pelajaran berstruktur dalam bahasa dan matematik, ditambah lagi dengan aktiviti yang mengasah daya komunikasi kanak-kanak, kemahiran motor kasar, dan kemahiran motor halus mereka.
Pengajaran secara tematik dan juga sistem kerja (work system) merupakan beberapa kaedah yang digunakan untuk meningkatkan pembelajaran kognitif kanak-kanak. Sistem kerja sangat berguna untuk kanak-kanak autistik, kerana murid-murid diberikan tugasan dan arahan tertentu yang dapat membantu membangunkan daya tumpuan mereka.
Manakala Activities of Daily Learning (ADL) atau Aktiviti Pembelajaran Seharian pula membantu memupuk semangat berdikari, dengan mengajar mereka penjagaan diri asas, seperti menukar pakaian, memberus gigi, dan mengikat tali kasut.
Selain itu, juga diadakan permainan secara berkumpulan (group play), di mana kanak-kanak belajar peraturan sosial seperti beratur dan menunggu giliran mereka apabila melakukan sesuatu, dan adaptasi sosial. Ruang sekolah yang luas, dilengkapi dengan bilik darjah berhawa dingin, kawasan permainan, dan CCTV untuk keselamatan, mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif supaya kanak-kanak dapat berinteraksi antara satu sama lain dan berkembangan bersama-sama.
Salah satu ciri terpenting di Flying Kids Ipoh ialah Program Pendidikan Individu (Individualised Education Programme) atau IEP, di mana para guru dan ibu bapa bekerjasama untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan setiap kanak-kanak, dan cara-cara untuk mengatasinya. /p>
Terdahulunya, ibu bapa ditanya tentang matlamat jangka pendek dan jangka panjang yang mereka mahu anak-anak mereka capai. Guru kemudian merangka kaedah-kaedah mengajar khas untuk mencapai matlamat-matlamat ini, dan melakukan semak semula dan penyesuaian sepanjang tahun sekolah, berdasarkan kemajuan kanak-kanak tersebut.
Program Intervensi Awal (EIP) pula disasarkan kepada kanak-kanak berumur empat hingga lapan tahun, dengan matlamat untuk membantu mereka membina kemahiran yang perlu supaya mereka dapat beralih ke tadika dan sekolah biasa. Tumpuan diberikan kepada meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi, perkembangan sensori dan motor, dan juga kemahiran penyesuaian diri.
Dari segi tenaga pengajar, salah satu kriteria yang penting bagi guru-guru di sekolah Lo adalah latar belakang dalam pendidikan khas. “Kami ingin memastikan kami mempunyai guru-guru yang berkelayakan, dan mampu menangani keperluan khas setiap murid,” kata beliau.
Setakat ini, terdapat tujuh orang guru di sekolah ini, tiga daripada mereka dari latar belakang pendidikan keperluan khas. Yang selainnya merupakan graduan ataupun memiliki sijil dalam psikologi atau pendidikan awal kanak-kanak. Dengan nisbah dua orang guru untuk setiap tujuh murid, ibu bapa terjamin bahawa anak-anak mereka mendapat perhatian dan penjagaan yang rapi.
Untuk membesarkan kanak-kanak dengan keperluan khas bukanlah sesuatu yang mudah, dan memerlukan penglibatan dari semua pihak. Ibubapa digalakkan untuk menglibatkan diri secara aktif dalam perkembangan anak-anak mereka, supaya kanak-kanak dapat terus berkembang walaupun di luar bilik darjah.
Sekolah ini menggunakan aplikasi mobil LittleLives bagi memastikan ibu bapa menerima maklumat terkini berkaitan dengan kemajuan anak-anak mereka, menerusi perkongsian gambar dan kemas kini yang lain.
Di samping itu, sekolah juga mengadakan lawatan sambil belajar atau acara seperti konsert akhir tahun dan hari sukan, supaya ibu bapa berpeluang mengeratkan hubangan dengan anak-anak mereka, disokong oleh guru-guru yang boleh mengawasi dan membantu jika perlu. Antara aktiviti menarik yang pernah dianjurkan pihak sekolah termasuklah menunggang kuda dan menonton wayang.
Satu lagi cara sekolah mengalakkan perkembangan di luar bilik darjah adalah melalui lawatan ke rumah. “Terdapat kes di mana seorang kanak-kanak dapat melakukan sebuah tugasan di sekolah, tetapi mereka tidak mampu melakukannya di rumah. Tujuan lawatan ke rumah adalah untuk mengenalpasti sebab-sebab ia terjadi begitu, dan memberi cadangan kepada ibu bapa untuk mewujudkan ruang yang kondusif untuk kanak-kanak mereka di rumah yang boleh mengalakkan pembelajaran dan aktiviti seharian yang lain,” kata Lo.
Menjaga seorang kanak-kanak keperluan khas bukan mudah, jadi sekolah menawarkan perkhidmatan “Respite” pada hujung minggu, bagi membolehkan penjaga beristirehat sebentar.
Flying Kids Child Development Centre, Ipoh merupakan sekolah di mana pendidik-pendidiknya bersungguh-sungguh bagi memastikan kanak-kanak di bawah jagaan mereka menerima perhatian, pendidikan, dan penjagaan yang rapi, sama ada di dalam atau luar bilik darjah. Dengan menggabungkan kurikulum yang khas dengan penjagaan individu dan juga kerjasama dari ibu bapa, Flying Kids dapat memberi kesan yang mendalam terhadap kehidupan anak-anak muda ini.