by on 17/04/2024 191
Sorotan Utama |
|
Beaconhouse Preschool Sarah’s Klang sememangnya terkenal dalam kalangan penduduk-penduduk Klang sebagai sekolah yang bersejarah, di mana tadika asalnya telah bertapak sejak tiga dekad yang lalu lagi.
Terletak di Taman Palm Grove, tadika dan taska berlesen ini dimulakan oleh seorang pendidik yang berdedikasi, dan terkenal kerana kecemerlangan akademiknya – warisan yang diteruskan kumpulan Beaconhouse apabila mereka mengambil alih operasi tadika ini.
Kini, sekolah ini menerima kanak-kanak dari umur 18 tahun hingga enam tahun, dan memberi tumpuan kepada membina asas yang kukuh dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin—memastikan kanak-kanak sedia untuk menghadapi cabaran sekolah rendah, sama ada di sekolah kebangsaan, sekolah swasta, mahupun sekolah antarabangsa.
Beaconhouse Preschool Sarah’s Klang membekalkan persekitaran pembelajaran yang selesa dan selamat untuk kanak-kanak, dan ianya jelas ternyata dari saat pelawat melewati premis sekolah ini.
Halaman depan yang luas direka untuk menyerupai sebuah pandu lalu, memudahkan ibubapa mengambil dan menurunkan anak-anak mereka di sekolah. Seorang pengawal keselamatan bertugas untuk memastikan keadaan yang selamat dan teratur.
Kelas-kelas diadakan dalam tiga bangunan bertingkat satu; salah satunya dibina khas untuk kumpulan ‘toddler’ (2-3 tahun) dan dipenuhi dengan pelbagai pameran yang berwarna-warni serta alatan sensori.
Terdapat kawasan lapang yang luas di luar – termasuklah sebuah ruang yang tertutup di antara bangunan-bangunan sekolah, di mana kanak-kank boleh melakukan aktiviti fizikal, taman permainan luar, kawasan mainan pasir, kolam renang, dan juga bilik mandi.
Di dalam bangunan sekolah pula, bilik-bilik darjah dilengkapi dengan penghawa dingin dan diterangi cahaya matahari, memastikan suasana yang kondusif untuk perkembangan kanak-kanak. Projek-projek dan karya seni murid-murid dipamerkan dengan bangga di seluruh kawasan sekolah, dan laci-laci pula disusun dengan rapi dengan portfolio setiap murid.
Selaras dengan falsafah Beaconhouse iaitu “Play to Learn, Learn to Play” (Belajar Sambil Bermain, Bermain Sambil Belajar), Beaconhouse Preschool Sarah’s Klang mengamalkan pendekatan teradun yang mengintegrasikan pembelajaran secara bermain dengan aktiviti-aktiviti berstruktur.
Kurikulum sekolah berdasarkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan memberi tumpuan bukan sahaja terhadap kecemerlangan akademik, tetapi juga perkembenagn holistik setiap kanak-kanak.
Subjek-subjek teras seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, dan Bahasa Mandarin disokong oleh program-program seperti Jolly Phonics dan Cambridge English, ditambah lagi dengan aktivti pengayaan seperti kelas renang, muzik dan tarian, kemahiran hidup praktikal, dan Taekwondo.
Untuk kanak-kanak yang lebih kecil, tumpuan diberikan kepada pemahaman konsep asas dan membantu mereka membina daya motor kasar dan daya motor halus mereka. Manakala kanak-kanak yang lebih besar pula terlibat dengan pembelajaran berdasarkan projek bagi memupuk daya kemahiran berfikir tinggi mereka, di samping meningkatkan kreativiti, daya penyelesaian masalah, dan daya pemikiran kritis mereka.
Teknologi digunakan dalam bilik darjah. Guru-guru menggunakan Chormebook untuk menyediakan pelan pengajaran mereka, dan juga Smart TV untuk membuat presentasi, menjadikan pengajaran mereka lebih menarik lagi.
Ketua Sekolah Cik Priscilla Hiew percaya bahawa penimbaan ilmu yang paling berkesan tidak tergantung kepada buku teks sahaja. Oleh sebab itu, sekolah ini menekankan kaedah-kaedah pengajaran yang inovatif, pengalaman pembelajaran secara praktikal, dan juga pengajaran secara individu.
“Setiap kanak-kanak merupakan individu yang unik, dan ada di kalangan mereka yang mungkin memerlukan pendekatan yang lebih personal untuk berasa selesa dalam persekitaran mereka. Sebagai contoh, sesetengah kanak-kanak masih belum dapat berdikari, walaupun mereka sudah mencecah usia enam tahun. Para guru memainkan peranan yang amat penting dalam memerhati dan memenuhi keperluan setiap individu, dan keperluan ini mungkin juga berubah dari semasa ke semasa,” jelas beliau.
Melalui pendekatan ini, murid-murid disediakan untuk kejayaan bukan sahaja dalam bilik darjah. tetapi diterapkan dengan rasa cinta untuk ilmu yang akan berkekalan sepanjang hidup mereka, tambah Cik Priscilla lagi.
Untuk memperkasakan tenaga pengajarnya, Cik Priscilla mengadakan sesi perkongsian setiap minggu. Beaconhouse juga memberi sokongan yang padu melalui pasukan kurikulum dan latihan merkea yang sendiri, bagi memperkayakan guru-guru sekolah dengan ilmu mengenai metodologi dan pendekatan pedagogi yang terkini.
Beaconhouse Preschool Sarah’s Klang mempunyai reputasi yang kukuh, jelas terlihat dari ibubapa yang sanggup menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini walaupun mereka tinggal di kawasan perumahan yang lain seperti Bukit Raja, Bukit Tinggi, dan Bandar Botanik.
Priscilla percaya bahawa ini adalah kerana ulasan dan cadangan dari ibubapa yang lain. “Saya rasa kualiti sekolah kami memang terbukti. Jika tidak, mustahil ibubapa akan menghantar anak-anak mereka ke sini walaupun terdapat banyak pliihan lain yang lebih dekat dengan tempat tinggal mereka,” katanya.
Program sekolah yang kuat, terutamanya dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin, juga merupakan salah satu faktor penyumbang, di samping aktiviti kokurikulum mereka yang menarik. Pandangan murid-murid terhadap dunia di sekeliling mereka diperluaskan lagi melalui aktiviti seperti rombongan sekolah dan sambutan perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, dan Deepavali, di mana para ibubapa juga turut terlibat dalam pengalaman pembelajaran anak-anak mereka.
Tidak mudah untuk sekolah membekalkan pengalaman pembelajaran yang seimbang dari aspek perkembangan sosial dan juga emosi, tetapi Beaconhouse Preschool Sarah’s Klang mampu membekalkan pengalaman ini dan memastikan kanak-kanak menerima pendidikan yang sememangnya holistik.