by on 29/04/2024 222
Sorotan Utama |
|
Terletak di sudut Jalan Gasing, Beaconhouse Preschool Gasing adalah sebuah sekolah prasekolah yang terkenal yang menawarkan pengalaman pendidikan holistik dan meluas untuk kanak-kanak berusia antara 18 bulan dan enam tahun.
Semenjak ianya ditubuhkan pada tahun 2006, prasekolah ini telah melihat pelbagai penambahbaikan, dari segi kemudahan mahupun pedagogi – dan perkembangan terkininya melibatkan kurikulum baru, iaitu International Early Years Curriculum (IEYC).
Kurikulum komprehensif yang berasal dari UK ini merangkumi aspek-aspek pembelajaran yang berlainan, dengan tumpuan terhadap pemikiran secara kritis, kreativiti, dan pandangan global.
“Misi kami bukan sahajalah untuk memastikan anak-anak murid kami sedia dari segi akademik mahupun sosial untuk menyertai alam sekolah rendah, tetapi juga menerapkan nilai-nilai murni seperti empati dan semangat ketahanan,” kata Ketua Sekolah, Cik Rafhanah Haneem (gambar di atas).
Menerusi kemahiran-kemahiran ini yang dipupuk sejak kecil lagi, Beaconhouse Preschool Gasing mengecapi matlamat mereka untuk memastikan anak-anak murid mereka menerima pendidikan dan ‘alatan’ yang secukupnya untuk membantu mereka berjaya dalam dunia kini yang kian berubah.
Kurikulum IEYC yang baru ini adalah berlandaskan pedagogi yang progresif, yang bertumpukan minat kanak-kanak. Ianya sesuai dengan moto Beaconhouse “Play to Learn, Learn to Play” (bermain sambil belajar dan belajar sambil bermain).
Terdapat lebih kurang 22 unit yang boleh dijadikan pilihan guru, berdasarkan pengamatan mereka terhadap minat kanak-kanak dalam bilik darjah. Setiap unit mempunyai ciri-ciri pembelajaran teradun, dengan modul dan aktiviti yang direka khas untuk membantu perkembangan aspek pembelajaran yang berlainan, dari Matematik ke seni dan literasi.
Contohnya, "Imagine That", merupakan unit di mana murid-murid dapat belajar tentang karya seni artis-artis yang terkemuka dalam sejarah, seperti Piet Mondrian dan Vincent Van Gogh dari negara Belanda.
Selain mengenalpasti teknik-teknik yang digunakan artis-artis ini, murid-murid juga mengenali secara lebih dalam tentang konsep seperti bentuk dan warna. Aktiviti yang lain dalam unit ini merangkumi aktiviti seni lukis, di mana murid-murid boleh mempersembahkan ekspresi mereka sendiri berdasarkan karya seni artis-artis popular ini, bagi mengaitkan konsep yang dipelajari dengan aktiviti praktikal.
Unit-unit lain yang menarik termasuklah "Blast Off", yang bertumpukan tema sains dan angkasa lepas, dan juga “Let’s Play Outside” yang menekankan aktiviti fizikal. Murid-murid akan terlibat dalam lima atau enam unit sepanjang sesi persekolahan mereka, bagi memastikan mereka terdedah kepada pelbagai topik yang berbeza.
Mengikut rangka kerja Kementerian Pendidikan Malaysia, mata pelajaran teras seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Mandarin juga diimplementasikan ke dalam kurikulum keseluruhan. Hasilnya ialah pendekatan seimbang dalam pembelajaran, yang berasaskan permainan serta mendorong rasa keingintahuan dan penyelesaian masalah, di samping tidak mengabaikan keperluan pendidikan formal.
Di luar jadual waktu yang biasa, kanak-kanak dapat meneruskan pelajaran dan permainan mereka melalui pelbagai aktiviti penggayaan yang ditawarkan sebagai sebahagian daripada program lanjutan (extended) dan program sepenuh hari (Full-day) sekolah, yang melibatkan aktiviti seperti pidato, bola sepak, dan tarian moden.
Di samping kurikulum sekolah yang baru, premis sekolah juga telah ditambahbaik dengan kemudahan seperti kawasan permainan yang baru, yang direka khas untuk mengalakkan semangat meneroka, imaginasi, dan perkembangan sensori kanak-kanak.
Dapur lumpur (mud kitchen) dan kawasan permainan air mengalakkan kanak-kanak untuk melibatkan diri dalam aktiviti hands-on yang menarik, di samping memastikan mereka dapat kekal aktif.
Teknologi amat penting dalam dunia kinim jadi prasekolah ini juga menggunakan kaedah-kaedah pengajaran seperti pembelajaran visual, kelas interaktif, dan aktiviti menarik bagi mewujudkan persekitaran yang dinamik dan imersif untuk kanak-kanak kecil.
Bilik-bilik darjah di Beaconhouse Preschool Gasing juga telah ditambahbaik dengan TV skrin pintar, memudahakan guru untuk mengintegrasikan sumber multimedia dan menyampaikan kandungan pendidikan yang interaktif.
Perjalanan pembelajaran seorang kanak-kanak tidak akan berjaya tanpa sokongan yang padu dari guru-guru yang prihatin. Di Beaconhouse Preschool Gasing, jelas terlihat bahawa guru-guru di sini amat menyayangi anak-anak murid mereka, dan berasa bangga untuk meraikan setiap pencapaian murid-murid mereka, tidak kira betapa kecilnya pencapaian tersebut.
Salah satu contoh boleh dilihat menerusi paparan karya seni dan projek yang penuh warna-warni, dalam setiap bilik darjah dan ruang sekolah, melambangkan rasa bangga dan sukacita guru-guru sekolah terhadap pencapaian anak-anak murid mereka.
Kanak-kanak di sini dilayan sebagai individu, di mana guru-guru berkomunikasi secara baik dengan anak-anak murid mereka. Guru menjadikan diri mereka sendiri sebagai contoh yang terbaik, dengan mengamalkan ucapan dan tingkah laku yang patut dicontohi.
Cik Haneem percaya bahawa persekitaran sekolah perlu memberi rasa yang selesa kepada murid-murid tetapi juga ibu bapa mereka. Bagi mencapai matlamat ini, guru-guru perlu menjadi ‘jambatan perhubungan’ antara semua pihak. Itulah sebabnya beliau menekankan bukah sahaja kelayakan tetapi juga pengalaman bekerja. Jikalau seorang calon guru mempunyai kedua-dua nilai ini, ia dilihat sebagai kelebihan tambahan.
“Guru-guru kami wajib untuk menyelaraskan diri mereka dengan kaedah pengajaran dan pengurusan bilik darjah berlandaskan prinsip-prinsip Beaconhouse, di samping fasih dengan trend yang pesat berkembang dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Nilai-nilai seperti kesopanan, personaliti yang menyenangkan, kesabaran, dan keinginan yang kuat untuk belajar benda-benda baru merupakan kualiti yang kami pentingkan dalam guru-guru kami. Selain itu, kami menyediakan program pembangunan professional untuk memastikan guru-guru kami sentiasa mengenali pedagogi dan trend pembelajaran terkini.”