by on 21/05/2024 297
Sorotan Utama |
|
Active Special Needs ialah sebuah program gim yang inovatif untuk kanak-kanak bekeperluan khas berusia tiga hingga 10 tahun.
Program ini beroperasi dari cawangan Headstart Academy di Shah Alam dan Glo Damansara. Kedua-dua pusat pendidikan khas ini lengkap dengan kemudahan gim sensori yang luas. Kelas dikendalikan dalam kumpulan yang kecil, atau secara individu dengan jurulatih.
Pengasas program gim ini ialah Cik Low Pek Har. Beliau telah memulakan program Active Special Needs pada tahun 2019, dan kata beliau, aktiviti fizikal membawa manfaat yang besar kepada kanak-kanak keperluan khas, bukan sahaja dari segi perkembangan mereka tetapi ianya juga membantu dari segi mengawal emosi dan perasaan gelisah (anxiety).
Kanak-kanak bekeperluan khas seringkali menghadapi kesukaran dengan daya motor kasar, koordinasi, kekuatan, dan keseimbangan mereka. Ramai juga yang mempunyai masalah sensori, terang Cik Pek Har, yang mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang Sains Sukan dari Universiti Malaya, dan juga ijazah diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari DIKA College. "Program kami direka khas untuk menangani isu-isu ini, di samping membekalkan tempat yang selamat dan sesuai untuk murid-murid belajar tentang kepentingan mengikut arahan, disiplin, dan mengambil giliran, bersama-sama rakan sebaya," terang beliau lagi.
Pelajar-pelajar Active Special Needs berasal dari pelbagai latar belakang dan keperluan khas, seperti autisme, Sindrom Down, sindrom kurang daya tumpuan dan hyperaktif (ADHD), dan kelewatan perkembangan global.
Cik Pek Har juga telah menerima latihan sebagai Autism Exercise Specialist dari American College of Sports Medicine. Selain itu, beliau juga memiliki pengalaman yang luas dalam mengajar gimnastik kepada kanak-kanak keperluan khas dan kanak-kanak tipikal. Ini kerana beliau pernah bertugas sebagai jurulatih di sebuah pusat gimnastik, dan ketua guru di sebuah pusat kanak-kanak bekeperluan khas.
Berkat pengetahuannya yang luas dan mendalam dalam kedua-dua bidang ini, program yang direka beliau sangat sesuai untuk menangani cabaran fizikal yang sering dihadapi kanak-kanak bekeperluan khas, dan program ini sememangnya berlainan dari program gim biasa yang mungkin lebih sesuai untuk kanak-kanak tipikal.
Sesi program Active Special Needs memberi tumpuan kepada beberapa aspek penting, iaitu daya motor kasar (seperti berlari, melompat, dan memanjat), koordinasi badan (daya koordinasi bahagian-bahagian badan yang berlainan untuk menghasilkan pergerakan), keseimbangan, dan juga daya kekuatan.
Walaupun sesetengah aktiviti kelihatan seperti mudah, ia mungkin amat mencabar untuk seorang kanak-kanak bekeperluan khas, kata Cik Pek Har. Contohnya, kanak-kanak tipikal biasanya tidak mempunyai masalah untuk memerhati dan mengikut rentak dan pergerakan jurulatih. Tetapi untuk kanak-kanak bekeperluan khas, jurulatih perlu menggunakan alatan visual seperti alatan berwarna atau bernombor untuk membimbing kanak-kanak tersebut bagi melakukan sebuah pergerakan, dan proses ini mungkin mengambil masa berbulan-bulan.
Aktiviti-aktiviti seperti ini sangat bermanfaat bukan sahaja dari segi meningkatkan mobiliti kanak-kanak tersebut, tetapi juga membina daya kognitif dan kesihatan emosi mereka, kerana ia membekalkan tempat untuk kanak-kanak ini meluahkan perasaan dan tenaga mereka yang terpendam. Kanak-kanak yang mempunyai masalah sensori turut mendapat manfaat apabila mereka bersenam kerana ia dapat membantu mereka dalam pemprosesan maklumat dengan lebih efektif, sekaligus meningkatkan daya tumpuan mereka dan mengurangkan rasa gelisah.
Tambah Cik Pek Har lagi, kelas secara berkumpulan membantu kanak-kanak untuk meningkatkan kemahiran bersosial mereka melalui interaksi dengan rakan sebaya mereka, sesuatu yang sangat berbeza dari terapi fizikal atau terapi pekerjaan (OT).
"Kami biasanya mengelompokkan kanak-kanak mengikut umur dan kebolehan mereka untuk memudahkan jurulatih untuk menyelaraskan kesukaran aktiviti. Kami menggunakan pendekatan yang fleksibel untuk kumpulan kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun, di mana mereka bebas meneroka alat-alat gim walaupun di luar giliran mereka. Untuk pelajar yang lebih besar, kami mengajar mereka untuk mengikut arahan jadi mereka harus menunggu kawan-kawan mereka habis dengan litar gim tersebut sebelum mengambil giliran mereka," jelas Cik Pek Har.
Cara lain yang digunakan Active Special Needs yang membezakan program ini dari program gim untuk kanak-kanak tipikal adalah nisbah jurulatih kepada pelajar yang rendah. "Dalam program gim tipikal, biasanya melibatkan lebih daripada 15 anak murid untuk setiap dua jurulatih. Di sini, kami memastikan bahawa setiap tiga murid diawasi oleh seorang jurulatih supaya mereka mendapat perhatian dan sokongan yang secukupnya," kata Cik Pek Har, yang dibantu oleh jurulatih-jurulatih yang berlatarbelakangkan Sains Sukan atau Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Headstart Academy Shah Alam, salah satu pusat di mana Active Special Needs menjalankan operasi program gimnya, menawarkan ruang yang luas dan kemudahan-kemudahan yang lengkap, merangkumi hampir 2,000 kaki persegi.Alat-alatan yang tersedia termasuklah dinding memanjat, monkey bar, dan litar halangan bertali.
Selain alatan-alatan dalam gim, Active Special Needs juga menggunakan aparatus mereka sendiri, termasuklah papan keseimbangan, bola fisio, dan banyak lagi. Bagi memastikan litar yang disediakan menarik tumpuan pelajar-pelajarnya, ia ditukar setiap minggu untuk memberi cabaran kepada kanak-kanak yang sesuai dengan tahap kebolehan mereka.
Kelas di Active Special Needs diadakan untuk sejam setiap minggu, dengan pilihan tambahan kelas yang lebih intensif jika perlu. Sebelum menyertai program ini, ibubapa boleh menghantar anak-anak mereka untuk sesi percubaan untuk melihat sama ada anak-anak mereka dapat menyesuaikan diri dalam setting berkumpulan. Ini juga membolehkan para jurulatih untuk menyelaraskan program yang sesuai untuk kanak-kanak tersebut.
Harga setiapi kelas amat berpatutan, bermula dari RM50 sahaja untuk kelas percubaan, dan RM220 untuk sesi peribadi. Cik Pek Har memberi bimbingan kepada ibubapa dan penjaga dengan membekalkan tips dan nasihat tentang senaman yang boleh dilakukan di rumah, dan cara untuk menguatkan lagi kemahiran yang telah dipelajari kanak-kanak dalam kelas.
Selain membekalkan perkhidmatan gim ini, Cik Pek Har berhasrat untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibubapa dan orang ramai tentang kepentingan aktiviti fizikal untuk kanak-kanak bekeperluan khas.
"Apabila kanak-kanak didiagnos sebagai kanak-kanak bekeperluan khas, doktor dan terapis selalunya menyarankan ibubapa untuk menghantar anak-anak mereka untuk program intervensi awal, terapi pekerjaan, atau terapi pertuturan. Harapan kami di Active Special Needs adalah untuk mempromosikan aktiviti fizikal sebagai salah satu program yang boleh membawa banyak manfaat kepada kanak-kanak bekeperluan khas," kata beliau.