by on 08/11/2017 2546
Setelah sekian lamanya, Puan Pamela Phang masih tidak berubah-ubah dan tetap setia terhadap pekerjaannya. Kasih sayangnya tidak pernah terputus dan mesra bagaikan titisan air hujan yang jatuh ke atas daun. Pengasas serta pengetua Tadika Yume yang bersuara lembut ini telah mendedikasikan tempoh paling penting dalam hidupnya untuk memupuk minda anak-anak muda serta menyemai minat terhadap pembelajaran sepanjang hayat dalam kanak-kanak.
Pada hari ini, Tadika Yume telah menggabungkan amalan terbaik daripada beberapa metodologi dalam pendekatan Montessori asalnya serta menyesuaikan kurikulum dan sukatan pelajarannya supaya berkaitan dan terkini. Ini juga adalah selaras dengan Sukatan Pelajaran Prasekolah Kebangsaan supaya kanak-kanak di sini bersedia dan dapat menyesuaikan diri apabila memasuki sekolah rendah kebangsaan. “Montessori merupakan asas panduan kurikulum dan sukatan pelajaran kami. Walau bagaimanapun, kami turut membuat perubahan dan menyesuaikan pelajaran kami sejajar dengan perubahan pendidikan awal kanak-kanak pada hari ini demi menawarkan pendidikan prasekolah yang terkini dan terbaik kepada kanak-kanak yang belajar di Tadika Yume,” kata pengetuanya dengan bangga.
Kelas yang terancang dan menggalakkan pembelajaran dijalankan di dalam bilik darjah yang dicat dengan warna terang. Saya berasa terkejut apabila melihat pelajar-pelajar prasekolah di sini yang berkelakuan baik dan duduk diam di meja kecil masing-masing sambil mendengar dan menumpukan perhatian kepada guru yang sedang mengajar. Jelas kelihatan bahawa kanak-kanak di sini telah dididik dengan baik melalui falsafah Montessori dan disemai dengan kemahiran fizikal, sosial, emosi, daya fikir dan daya kreatif. Mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, Matematik, Sains, Moral, Seni dan Kraft serta Muzik dan Pergerakan turut dimasukkan dalam sukatan pelajaran demi menyediakan kanak-kanak untuk memasuki sekolah rendah kelak.
Untuk memperkukuh lagi asas prasekolah para pelajar, Tadika Yume membuat dan mencetak berbagai-bagai buku kerja mereka sendiri.
Ini membantu kami mengekalkan standard dan kualiti yang tinggi bagi kandungan serta bahan buku kerja kami, jelas Puan Phang.
Sejak beberapa tahun yang lepas, Tadika Yume telah mula memperkenalkan teknologi baru dalam pengajaran, pembelajaran dan persekitarannya. Terdapat kelas interaktif serta aktiviti yang dijalankan dengan menggunakan alat pandang dengar dan komputer turut digunakan untuk mata pelajaran Sains serta semua mata pelajaran bahasa.
Tadika Yume mempunyai sebuah taman permainan di luar yang lengkap serta sebuah kolam renang mereka sendiri untuk sesi bermain air supaya pengalaman pembelajaran prasekolah kanak-kanak tidak terbatas kepada buku dan dinding di tadika. Rombongan dan lawatan ke tempat-tempat menarik, konsert serta hari sukan turut dianjurkan dan pelbagai perayaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia juga diraikan bersama-sama.
Guru di Tadika Yume adalah terlatih, berkelayakan dan berpengalaman. Kebanyakan mereka telah mengajar di sini sejak penubuhan Tadika Yume dan ini juga merupakan salah satu keunikan Tadika Yume. “Saya sangat berterima kasih kepada kakitangan saya dan berasa rendah diri apabila memikirkan dedikasi dan sumbangan mereka untuk memupuk setiap pelajar dengan sepenuh jiwa raga selama ini...,” kata Puan Phang dengan amat ikhlas.
Pendidik di prasekolah pada hari ini perlu melakukan segala-galanya untuk pelajar mereka. Mereka bukan saja perlu memainkan peranan sebagai guru, mentor dan kawan, malahan sebagai ibu bapa sementara bagi pelajar mereka. Semua ini adalah peranan yang dimainkan oleh guru-guru di Tadika Yume. Tadika Yume adalah sebuah tadika yang istimewa dengan guru-guru yang istimewa serta mempunyai seorang pengetua yang amat istimewa. Saya amat mengagumi dan menghormati kemesraan, keghairahan serta dedikasi mereka.