by on 09/10/2024 91
Sorotan Utama |
|
Asas yang kukuh amat penting dalam pendidikan awal kanak-kanak, kerana semua yang dipelajari akan 'dibina' atas asas ini. Tanpanya, kanak-kanak akan menghadapi cabaran dari segi akademik, sosial, mahupun emosi apabila mereka perlu mengharungi alam persekolahan dan kehidupan.
Di Tadika Minda Holistik (Bright Kids), Bandar Puchong Jaya, tumpuan diberikan terhadap membina asas-asas yang kukuh ini, supaya setiap kanak-kanak dapat belajar dengan yakin, kental, dan penuh dengan rasa riang.
Pengetua sekolah iaitu Cik Candy sememangnya sangat mengenali selok-belok bidang pendidikan, kerana beliau sudahpun terlibat dalam pendidikan sekolah rendah untuk lebih sedekad lagi.
"Apabila (perniagaan) kami berkembang, kami sedar bahawa ramai kanak-kanak di pusat pendidikan kami tidak mempunyai asas yang kuat, dan mereka ketinggalan dalam pelajaran mereka. Hal ini memberi inspirasi kepada kami untuk menceburi bidang pendidikan awal kanak-kanak pula, supaya kami dapat membantu kanak-kanak dari umur yang awal lagi," jelas beliau.
Selain itu, terdapat juga sebab lain mengapa Cik Candy ingin mewujudkan persekitaran pembelajaran yang baik untuk kanak-kanak."Pada ketika itu, saya dan suami ingin mencari tadika yang untuk anak kami, tetapi malangnya susah untuk kami cari tempat yang sesuai," kata Cik Candy. "Kami inginkan tempat yang selaras dengan prinsip kami, dan itu menjadi dorongan untuk membuka tadika kami sendiri," tambah beliau. Sejak mereka bermula di tadika ini pada tahun 2023, Cik Candy dan tenaga pengajarnya yang berpengalaman mempunyai misi untuk mewujudkan tempat yang selesa dan sesuai untuk kanak-kanak di mana mereka boleh belajar dan berkembang dengan pesat.
Tadika Minda Holistik (Bright Kids) menawarkan program holistik untuk kanak-kanak berusia 18 bulan hingga 6 tahun. Kanak-kanak yang lebih kecil dalam kumpulan Play Group diajar melalui pendekatan yang berasaskan permainan yang menarik dan bertumpukan tema yang berlainan, dan aktiviti-aktiviti mereka sentiasa berteraskan matlamat pelajaran yang tertentu.
Kumpulan Play Group juga mengintegrasikan program Budding Bean yang membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran pertuturan dan bahasa mereka melalui aktiviti muzik dan ritma. "Sejak kebelakangan ini, ramai kanak-kanak mengalami masalah kelewatan bertutur," kata Cik Candy. "Program ini menggunakan muzik untuk mengajar mereka bertutur dan bercakap. Melalui penggunaan elemen ritma dan repetasi, kita boleh nampak kemajuan mereka dalam masa dua bulan sahaja."
Untuk kanak-kanak yang lebih besar, kurikulum menggabungan permainan dan juga akademik, berteraskan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). Kita boleh lihat struktur pengajaran menyediakan kanak-kanak untuk sekolah rendah. Contohnya, untuk kanak-kanak berusia 4 tahun, terdapat lebih kurang 50% elemen permainan dan 50% pelajaran, manakala kanak-kanak berumur 5 dan 6 tahun pula menghabiskan masa 70% dalam akademik dan 30% dalam aktiviti permainan.
Dari hari Isnin ke Khamis, kanak-kanak akan terlibat dalam kerja akademik dan juga permainan mengikut kumpulan umur masing-masing. Manakala pada hari Jumaat pula, aktiviti sepanjang hari akan bertumpukan permainan dan aktiviti penjagaan diri, seperti mengajar kanak-kanak cara untuk melakukan tugasan secara berdikari, selain permainan sensori, permainan peranan, persembahan dan drama.
Pembinaan keyakinan diri adalah salah satu falsafah utama di Tadika Minda Holistik. Cik Candy dan guru-gurunya telah memperkenalkan beberapa aktiviti yang direka khas untuk mengalakkan kanak-kanak supaya dapat meluahkan perasaan mereka dan memupuk sikap bertanggungjawab. "Salah satu misi kami adalah untuk melatih kanak-kanak supaya dapat menjadi pemimpin yang baik, dan menjadi individu yang lebih ekstrovert. Kami mahu mereka senang meluahkan perasaan dan apa yang mereka fikirkan," tegas beliau.
Ruang sekolah lengkap dengan pentas yang kecil supaya kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran pidato mereka. "Kami dapat melihat perbezaan yang besar dalam kalangan murid-murid kami berbanding dengan masa mereka mula belajar di sini. Pada awalnya ramai murid-murid kami berasa takut untuk naik ke pentas, tetapi sekarang mereka sangat suka dan yakin untuk melakukannya. Kami biasanya mengalakkan mereka untuk membuat persembahan ketika konesert tahunan dan juga aktiviti bersama ibubapa," Cik Candy berkongsi dengan perasaan bangga.
Sekolah turut memupuk individu-individu yang yakin melalui program pengayaan yang dijalankan pada waktu petang, yang merangkumi program bahasa dan juga Taekwondo.
Untuk ibubapa yang ingin anak-anak mereka masuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Tadika Minda Holistik (Bright Kids) membantu kanak-kanak dengan bimbingan dan sokongan yang perlu.
Pengalaman Cik Candy dalam membimbing pelajar-pelajar sekolah rendah menunjukkan bahawa ramai kanak-kanak yang tidak mempunyai asas yang kukuh dalam Mandarin susah untuk menyesuaikan diri dalam sekolah jenis kebangsaan Cina: mereka tidak cekap dalam membaca dan menulis karakter dalam Bahasa Cina, dan ini akan menggugat keyakinan mereka dalam matapelajaran yang lain. Bagi menangani masalah ini, sekolah mengadakan sesi 1-1 untuk Mandarin, Bahasa Inggeris, dan Bahasa Melayu supaya kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran bahasa mereka dengan cepat.
Tadika ini juga menggunakan bahan-bahan pembelajaran yang berkualiti seperti buku Odonata untuk Bahasa Cina, Peter & Jane untuk Bahasa Inggeris, dan siri Pantas untuk Bahasa Melayu. Bilangan pelajar yang rendah dalam bilik darjah, dihadkan pada 10 pelajar setiap kumpulan, memastikan guru-guru dapat memberi perhatian yang secukupnya untuk setiap kanak-kanak.
Aspek akademik sememangnya penting, tetapi ia hanya sebahagian daripada perkembangan menyeluruh kanak-kanak. Tadika ini juga mementingkan perkembangan holistik kanak-kanak dan juga memupuk peribadi yang baik. "Apa yang kita inginkan adalah untuk murid-murid kami menjadi individu yang berdisiplin, mampu menyayangi diri mereka, dan menghormati orang lain," kata Cik Candy.
Oleh sebab itu, program tadika juga merangkumi praktis seperti meditasi yang dijalankan setiap hari Jumaat. Pada masa yang sama, kanak-kanak dan guru-guru melakukan sesi peneguhan positif bersama. "Kanak-kanak akan mengingatkan diri dengan melafazkan eskpresi seperti 'saya kanak-kanak yang baik', dan 'saya seorang yang penyayang dan boleh membantu orang lain'. Aktiviti-aktiviti ini dapat membantu mereka memahami bahawa mereka adalah kanak-kanak yang baik," jelas Cik Candy.
Kemudahan di tadika ini direka untuk menyokong pembelajaran aktif dan penerokaan dalam kalangan kanak-kanak. Terdapat ruang permainan, dapur kecil, taman permainan dalaman dengan terowong berbentuk ulat bulu yang sangat disukai kanak-kanak di sini, sudut membaca, dan rak Montessori, di mana kanak-kanak boleh akses bahan-bahan pelajaran dan meletakkannya balik selepas menggunakannya, yang akan mengajar mereka disiplin. Manakala di sudut permainan peranan pula, seperti di kedai buah mini, kanak-kanak dapat mengasah daya kreativiti dan imaginasi mereka.
Keselamatan dipentingkan di Tadika Minda Holistik. Premis sekolah terletak di kawasan yang berpagar dengan pondok pengawal, manakala ruang tadika pula dipisahkan dari luar dengan pintu kaca dan ruang resepsi. Terdapat CCTV di setiap sudut tadika, dan bahan-bahan pembelajaran dan alatan mainan disanitasi setiap hari. Kanak-kanak juga menikmati masakan yang berkhasiat setiap hari.
Tadika Minda Holistik percaya bahawa kejayaan kanak-kanak bergantung kepada komunikasi yang terbuka di antara ibubapa, guru-guru, dan kanak-kanak. Kerjasama 'tiga segi' ini dikukuhkan lagi melalui aktiviti bersama ibubapa dan kanak-kanak (Parent-Child Bonding, atau PCB).
"Kami mengadakan sekurang-kurangnya empat sesi PCB, sama ada melawat ke stesyen bomba atau ladang haiwan, sesi memasak, dan sesi seni dan kraf," Cik Candy berkongsi. Matlamat sekolah adalah untuk membina hubungan yang mendalam dengan ibubapa supaya mereka dapat memahami keperluan kanak-kanak di sekolah dan juga di rumah, dan bekerjasama bagi manfaat perkembangan mereka. Ibubapa juga dikemas kini tentang aktiviti harian anak-anak mereka melalui applikasi LittleLives.