by on 26/09/2024 92
Sorotan Utama |
|
Ditubuhkan pada tahun 1990,Pastorale Conservatoire of Music sememangnya nama yang terkenal dalam sektor muzik klasik di Malaysia. Diasaskan oleh Cik Yim Soi Chee, akademi ini telah berkembang dari sekolah muzik yang kecil menjadi sebuah institusi terkemuka dengan dua cawangan, di OUG dan Bandar Puchong Jaya.
Akademi ini menawarkan kursus untuk semua lapisan umur dan latar belakang, termasuklah kelas untuk kanak-kanak, kelas individu, kursus muzik dewasa, dan kursus profesional. Alatan-alatan yang diajar merangkumi piano, biola, cello, gitar klasik, dan seruling.
Etos Pastorale, iaitu "Mengajar dengan tulus dan ikhlas dari hati", sangat ketara dalam semua aspek sekolah dan pendekatannya terhadap pendidikan muzik. "Kami bukan sahaja mengajar muzik. Apa yang kami mahu pelajar-pelajar kami perolehi dari masa mereka di sini adalah untuk menjadi insan yang berguna dengan peribadi yang baik," kata Cik Yim.
Penglibatan Cik Yim dalam muzik bermula dari bangku sekolah menengah lagi. Ketika itu, beliau mengajar piano sambil belajar untuk ijazah muzik beliau. Selepas beliau tamat pengajian dalam bidang komunikasi massa dan sains politik dari universiti beliau, Cik Yim boleh sahaja menceburi bidang pemasaran dan pengiklanan; tetapi beliau masih tertarik kepada jurusan muzik. Kebetulan pada masa itu, seorang rakan beliau bakal berhijrah ke UK dan mengamanahkan murid-murid beliau kepada Cik Yim - itulah saat kerjaya muzik beliau benar-benar bermula.
Dari sekolah yang kecil dengan hanya beberapa orang guru sahaja, akademi Pastorale kini mempunyai tenaga pengajar lebih 20 orang guru, kebanyakannya bekas pelajar-pelajar akademi yang pulang sebagai guru. Ahli staf semuanya mempunyai kelayakan yang tinggi dan merupakan graduan dari Jerman, Australia, dan UK. Selain kelayakan mereka, Cik Yim menekankan bahawa guru-gurunya perlu seriras dengan falsafah dan pendekatan Pastorale, bagi membina hubungan yang kukuh, dan bukan sahaja mengajar muzik sebagai satu subjek atau hobi.
Beliau berkongsi tetang kisah salah seorang bekas pelajarnya yang melanjutkan pelajarannya ke UK dalam jurusan undang-undang, yang seringkali pulang ke untuk membantu dalam konsert amal anjuran Pastorale. "Saya telah mengajar dan membimbing pelajar tersebut ketika dia masih kecil lagi, dari usia enam hingga 18 tahun. Kini dia telah dewasa, tetapi dia masih terlibat dalam akademi kami," kata Cik Yim dengan bangga.
Cerita-cerita begini kerap berlaku di Pastorale, di mana pelajar-pelajarnya bukan sahaja menjadi ahli muzik yang berbakat, tetapi individu yang berdisiplin dan menghargai muzik dan kehidupan secara lazim.
Kursus-kursus di Pastorale ditawarkan untuk kanak-kanak dari usia semuda dua tahun melalui kelas muzik kanak-kanaknya. "Pada usia itu, mereka tidak lagi pandai membaca, jadi kelas kami berkisarkan daya pendengaran dan pergerakan," jelas Cik Yim. "Matlamat kami adalah untuk membolehkan kanak-kanak merasa irama dan bergerak kepada rentak secara semulajadi."
Hanya dua hingga enam pelajar sahaja ditempatkan dalam setiap bilik darjah, dan kelas akan merangkumi aspek seperti irama, mengenali bunyi, dan meniru irama menggunakan alatan perkusi. Melalui cara ini, kanak-kanak mempelajari asas permainan alatan muzik dan ianya juga dapat membantu perkembangan fizikal dan kognitif mereka. Penglibatan ibubapa juga amat penting.
"Apabila ibubapa mendaftar anak-anak mereka ke akademi kami, saya selalunya akan berjumpa dengan kanak-kanak tersebut dahulu. Bolehkah mereka menekan tangan saya? Adakah genggaman mereka kuat? Adakah perkembangan tulang-tulang mereka telah lengkap?" kata Cik Yim. Beliau berkata, penting untuk memastikan kanak-kanak sedia untuk bermain alatan muzik tertentu. "Kami tidak sahaja mengajar muzik. Kami juga perlu mempertimbangkan tahap perkembangan mereka."
Untuk kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun, kelas-kelas distruktur secara fleksibel bagi menampungi keperluan mereka. Setiap sesi diadakan selama 45 minit hingga sejam, di mana kanak-kanak akan melakukan aktiviti seperti menyanyi, mengenali noktah muzik, mendengar muzik, bergerak, dan bermain dengan alatan-alatan muzik yang asas.
Pada usia enam tahun, pelajar-pelajar boleh menyertai kelas yang lebih berstruktur dengan pembelajaran teori dan membuat improvasi. Selain itu mereka akan dikenalkan kepada alatan orkestra juga, dan menyertai kelas individu.
Cik Yim percaya bahawa pendidikan muzik amat penting kerana guru muzik akan membimbing kanak-kanak melalui jangka masa yang panjang, tidak seperti guru sekolah. Hubungan ini memberikan peluang kepada guru-guru Pastorale untuk membentuk akhlak dan keperibadian pelajar-pelajar mereka.
Contohnya, bagi pelajar-pelajar Pastorale yang menyertai pertandingan muzik, Cik Yim menegaskan bahawa kanak-kanak dapat belajar untuk menerima kekalahan dan menyambut kemenangan. "Kalau mereka kalah, tidak mengapa. Apa yang penting adalah mereka telah berusaha dengan sepenuh hati, dan mereka harus mengucapkan tahniah kepada pemenang. Itulah nilai murni yang mereka pelajari," kata beliau.
Cara pemikiran ini yang bertumpukan perkembangan diri dan tidak fokus kepada kemenangan atau anugerah semata-mata, amat penting dalam visi dan misi akademi ini. Pelajar-pelajar digalakkan untuk mengamalkan disiplin diri, menguruskan masa mereka dengan cermat, dan tekun dalam apa yang mereka pelajari dan memupuk rasa cinta terhadap muzik. "Ada bekas pelajar-pelajar kami yang menjadi doktor, jurutera, dan peguam; walaunpun mereka tidak lagi bermain muzik secara profesional, apa yang mereka pelajari di sini, mereka amalkan sepanjang hayat mereka," tambah Cik Yim lagi.
Pastorale Conservatoire mengadakan kelas profesional dan juga persembahan muzik setiap tahun. Ahli muzik yang terkemuka dijemput untuk mengadakan bengkel dan kelas khas, membolehkan pelajar-pelajar di sini belajar gaya dan teknik permainan yang berbeza.
Sudah pasti sijil juga amat penting. Pastorale merupakan pusat peperiksaan Trinity College dan membekalkan persekitaran yang baik dan 'grand piano' untuk peperiksaan dan ujian muzik pada setiap tahap.
Selain itu, akademik juga menganjurkan konsert amal. Bekas pelajar dan juga pelajar semasa Pastorale telah mengumpul ribuan ringgit untuk sumbangan amal. Sebuah konsert amal yang diadakan pada tahun 2023 telah berjaya mengumpul sebanyak RM70,000 -- dari jumlah ini, RM50,000 disumbangkan kepada Pusat Dialisis St John untuk membeli mesin dialisis baru; manakala RM20,000 lagi disumbang kepada bada yang membantu haiwan-haiwan terbiar.
Walaupun akademi ini dikira berjaya, Cik Yim tidak ingin mengembangkan jenama ini dengan terlalu cepat. "Kalau kita hendak melakukan sesuatu, kita kena melakukannya dengan baik dan bukannya tergesa-gesa," kata beliau. Oleh sebab itu, Pastorale memilih guruny dengan teliti dan mengutamakan dedikasi dan semangat berbanding kelayakan semata-mata. Selama bertahun-tahun, komuniti pengajar yang erat di Pastorale kekal stabil, dan ramai antara gurunya telah berkhidmat dengan Pastorale selama beberapa dekad.
Secara kesimpulannya, Pastorale Conservatoire of Music tidak sekadar mencipta pemuzik; ia tentang membentuk peribadi setiap individu. Sama ada kanak-kanak membesar untuk menjadi pemain piano konsert, jurutera mahupun peguam, pelajaran dan nilai yang mereka dapati di Pastorale akan membantu mereka mengharungi cabaran hidup. Untuk Cik Yim, itulah ganjaran terbesar yang boleh dianugerahkan kepada seorang pendidik.