by on 16/11/2018 3619
Eduwis Hillpark adalah lambang kejayaan dalam pendidikan awal kanak-kanak. Ia merupakan sebuah tadika jenis pendidikan campuran (co-educational) yang bebas dan tidak mengandungi sebarang pengajaran agama serta direka untuk membangkitkan potensi maksimum para pelajar di dalam sebuah persekitaran pengasuhan yang progresif, seolah-olah di rumah. Tadika ini mengambil pelajar yang berumur 6 tahun dan ke bawah. Pada setiap hari persekolahan, cahaya matahari akan masuk melalui tingkap dan menerangi para pelajar yang sedang bersapa-sapaan dan bermain dengan seronok. Tumpuan bagi perkhidmatan dan pendekatan pendidikan di sini adalah kepentingan setiap pelajar serta untuk mencungkil, memupuk dan meraikan keunikan ciri tersendiri pelajar dalam segala aspek kehidupan di sekolah.
Setiap penjuru tadika ini telah dimanfaatkan untuk menimbulkan sifat ingin tahu, menarik minat serta merangsang perkembangan secara menyeluruh: dari segi intelek, kognitif, sosial, emosi dan fizikal. Pelajar boleh menjadi pembentuk pembelajaran mereka sendiri, dan setiap hari adalah peluang baru untuk menjelajah dan meneroka perkara baru. Susun atur bahagian luar tadika juga diberi perhatian dan pertimbangan yang sama dengan persekitaran di dalam. Tempat bermain pasir, kebun sayur, kawasan bermain air dan alat permainan motor kasar turut disediakan untuk merangsang deria pelajar dari segi sifat ingin tahu dan daya imaginasi.
Pendekatan pendidikan Eduwis melihat setiap kanak-kanak sebagai individu yang bersifat ingin tahu, kreatif, cekap dan amat berpotensi. Matlamat Eduwis adalah untuk menyediakan peluang pembelajaran yang menghasilkan pelajar yang berpengetahuan, mempunyai sifat ingin tahu/suka bertanya, suka mengharungi cabaran, berprinsip, mempunyai kebolehan berkomunikasi, sentiasa berfikir, penyayang dan berfikiran terbuka. Dalam rangka kerja Eduwis, para pelajar dibimbing oleh falsafah-falsafah dan teori-teori penting dalam bidang pendidikan awal: Maria Montessori (kemahiran hidup), Erik Erikson (perkembangan psikososial), Lev Vygotsky (kemahiran bahasa dan sosial), Confucius (nilai-nilai moral and rohaniah), Reggio Emilia (pembelajaran kreatif), Jean Piaget (perkembangan mental [kognitif dan pemikiran kritis]), Shinichi Suzuki (penghargaan dan pembelajaran muzik), dan Friedrich Froebel (persekitaran semula jadi).
Selain itu, guru menggunakan pendekatan separa berpusatkan kanak-kanak, pendekatan amali, pendekatan berdasarkan aktiviti, pendekatan penemuan, pendekatan penjelajahan serta pendekatan pembelajaran konstruktivis dalam perancangan kurikulum mereka. Program-program di Eduwis berpegang pada model pendidikan pelbagai disiplin yang menyepadukan mata pelajaran yang berbeza untuk menghasilkan tema-tema lazim yang difahami. Aspek pembelajaran yang utama termasuklah Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Bahasa Mandarin, Matematik Tahap Awal, Sains Tahap Awal, Seni Kreatif (lukisan/seni dan kraft), Muzik (piano/muzik dan pergerakan), ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi), Moral, Pengajian Am, aktiviti di dalam bangunan (drama/persembahan boneka/tarian) dan aktiviti di luar (pasir/air/fizikal/berkebun). Guru mendorong para pelajar untuk menemui makna yang tersirat di dalam konsep-konsep aktiviti melalui gerak dan lagu, sesi bercerita, lakon peranan, permainan, dan banyak lagi. Banyak sumber dan bahan dikitar semula yang semula jadi disediakan untuk kanak-kanak supaya mereka boleh meneroka dunia mereka secara aktif, menemui maklumat baru serta menggunakan idea mereka dengan cara yang bermakna.
Di samping memiliki program teras yang kukuh sebagai asas pendidikannya, kurikulum di sini dilengkapi dengan berbagai-bagai aktiviti dan kokurikulum yang direka untuk mempertingkatkan pembelajaran. Para pelajar digalakkan untuk memanfaatkan pelbagai peluang yang disediakan bagi hampir semua jenis kegemaran termasuklah aktiviti sukan, persembahan alat genderang, persembahan boneka serta sesi membuat kek. Selain itu, pendidikan di luar bilik darjah, lawatan lapangan, pertandingan matematik dan sains, serta persembahan seni dan konsert upacara penyampaian sijil turut meluaskan pengalaman kanak-kanak. Ini akan membantu perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh di luar batasan bilik darjah.
Eduwis adalah seperti rumah kedua bagi keluarga pelajar di sini. Di sini, semua orang akan melibatkan diri dan bekerjasama untuk menghasilkan masyarakat yang penuh dengan kasih sayang dan pelajaran. Guru selalu berkongsi maklumat mengenai minat pelajar serta memaklumkan ibu bapa akan perkembangan anak mereka. Makanan seimbang yang berkhasiat disediakan untuk para pelajar dan cuti sekolah di sini adalah pendek. Semua ini adalah untuk membantu ibu bapa yang bekerja. Bengkel keibubapaan dan aktiviti yang melibatkan ibu bapa membantu meluaskan pembelajaran para pelajar di rumah dan mendorong hubungan kekeluargaan yang rapat.
Eduwis banyak melabur dalam kemahiran dan perkembangan para guru supaya mereka boleh saling mempelajari dan belajar daripada amalan-amalan yang terbaik di seluruh dunia. Para guru memahami bahawa kanak-kanak hanya boleh belajar dengan berkesan sekiranya mereka berasa gembira dan berpuas hati. Mereka sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa pencapaian setiap kanak-kanak adalah sejajar dengan falsafah Eduwis serta bahawa setiap kanak-kanak membesar menjadi individu yang suka berfikir secara kreatif dan kritis dengan kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan dunia yang sentiasa berubah ini.