by on 09/03/2018 2743
Perlahankan suara anda... Anak-anak kecil sedang tidur.
Sebaik saja kami memasuki Pusat Penjagaan Bayi & Kanak-kanak Choo Choo Train, kami nampak barisan katil bayi yang disusun dengan teratur dan anak-anak kecil sedang tidur nyenyak di dalamnya. Semua lampu telah dipadamkan, maka cuma ada sedikit cahaya matahari yang menyinari bahagian tengah ruang ini melalui celah-celah tingkap.
Walaupun dimainkan dengan amat perlahan, namun lagu dodoi boleh kedengaran untuk menutup sebarang bunyi lain yang mungkin mengganggu rutin waktu tidur anak-anak kecil. Guru di Pusat Penjagaan Bayi & Kanak-kanak Choo Choo Train amat mementingkan waktu tidur anak-anak kecil. Apabila mereka mendapat rehat yang secukupnya, mereka akan berasa lebih gembira dan lebih bersedia untuk mempelajari perkara baru.
Pusat Penjagaan Bayi & Kanak-kanak Choo Choo Train terletak di tingkat dua Pacific Place, Ara Damansara yang terletak di antara Subang Jaya dan Kelana Jaya. Ruang pembelajaran dan ruang sosial terdiri daripada ruang yang terbuka untuk memudahkan interaksi dan pembelajaran yang fleksibel. Ruang pembelajaran boleh dibahagikan kepada dua ruang utama. Ruang pertama dilengkapi dengan barisan katil bayi untuk menempatkan bayi dengan selamat. Ruang yang kedua pula dilengkapi dengan perabot bersaiz kanak-kanak yang disusun dengan cantik serta tempat menyimpan barang yang praktikal untuk memudahkan anak-anak kecil mengambil bahan pembelajaran.
Pusat Penjagaan Bayi & Kanak-kanak Choo Choo Train menawarkan pendidikan untuk anak kecil berumur 2 bulan hingga 4 tahun. Bayi mempunyai jadual waktu yang fleksibel dan disesuaikan mengikut keperluan mereka pada waktu siang. Bayi akan diurut dengan lembut pada setiap pagi. Urutan ini akan memanfaatkan mereka dengan membantu perkembangan emosi dan intelektual mereka pada masa akan datang.
Pusat Penjagaan Bayi & Kanak-kanak Choo Choo Train menawarkan program holistik yang memanfaatkan Kaedah Montessori dalam pendidikan untuk memberi anak-anak kecil pengalaman pendidikan yang berharga. Tumpuan program ini adalah untuk memupuk minda yang bersikap ingin tahu dan membina asas yang kukuh dalam tempoh penting yang membentuk seorang kanak-kanak. Kaedah yang bersifat pedagogi bertujuan untuk memupuk kesedaran diri yang positif dalam diri setiap kanak-kanak dan seterusnya membina asas minda yang sihat dan motivasi untuk belajar. Aktiviti dan pelajaran disusun berdasarkan kurikulum bertema. Program ini meliputi mata pelajaran seperti bahasa, matematik, sains, seni, muzik, kemahiran hidup, lakon peranan (pretend play) dan memasak. Melalui mata pelajaran tersebut, kanak-kanak akan mengukuhkan pelbagai aspek pembelajaran termasuk literasi, deria, pergerakan muzik, perkembangan kesenian, kemahiran motor dan kognitif, perkembangan kreatif dan imaginasi, serta kemahiran sosial dan emosi. Perkhidmatan jagaan harian turut memenuhi keperluan ibu bapa yang sibuk serta keperluan perkembangan kanak-kanak.
Guru di sini sentiasa memberi perhatian dari segi pemerolehan kemahiran serta perkembangan keseluruhan kanak-kanak. Kemajuan dan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa diperhatikan dan dilaporkan kepada ibu bapa dari semasa ke semasa. Untuk memastikan kemajuan dan kesejahteraan kanak-kanak, jururawat dan guru yang terlatih akan membimbing kanak-kanak berdasarkan tahap perkembangan mereka. Program latihan yang dijalankan sebanyak dua kali setahun akan memastikan kualiti pendidikan dan kemahiran guru di sini. Dalam bidang pendidikan, kami sering mendengar ungkapan “Don’t Smile Until Christmas” daripada guru yang berpengalaman. Namun, guru di Pusat Penjagaan Bayi & Kanak-kanak Choo Choo Train tidak berfikir demikian. Mereka sentiasa mendidik kanak-kanak di sini dengan ramah mesra. Tenaga pengajar di sini juga amat dipentingkan. Aktiviti pembinaan pasukan (team building) tahunan akan diadakan untuk meningkatkan kerjasama antara guru dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
Minda cerdas berasal daripada makanan yang berkhasiat. Maka, pendekatan pendidikan kanak-kanak yang menyeluruh juga merangkumi usaha memupuk tabiat pemakanan yang sihat melalui pengambilan makanan berkhasiat. Kanak-kanak hanya akan diberi makanan yang sihat dan diet seimbang. Seperti makanan yang disediakan di rumah, kanak-kanak akan disajikan dengan makanan lengkap daripada bahan organik yang disediakan terus dari dapur Pusat Penjagaan Bayi & Kanak-kanak Choo Choo Train. Semua makanan disediakan dengan menggunakan gula dan garam yang amat minimum dan MSG tidak digunakan sama sekali. Selain itu, makanan di sini juga dihidangkan dengan cantik, seperti makanan yang disediakan oleh ibu untuk anak mereka.
Pada setiap hari, penjaga di Pusat Penjagaan Bayi & Kanak-kanak Choo Choo Train akan membasmi kuman pada semua permukaan dan peralatan di sini untuk mengelakkan penyebaran kuman. Langkah ini adalah amat berkesan untuk mengurangkan risiko kanak-kanak jatuh sakit. Selain itu, pengendali Pusat Penjagaan Bayi & Kanak-kanak Choo Choo Train juga memasang sistem pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) untuk menjamin keselamatan kanak-kanak pada setiap masa.
Pendekatan pembelajaran di Pusat Penjagaan Bayi & Kanak-kanak Choo Choo Train adalah amat berbeza dan itu adalah keistimewaannya. Melalui sokongan tenaga pengajar dan penjaga, serta program pendidikan yang berkualiti, setiap kanak-kanak yang mempunyai keperluan dan kebolehan yang berlainan berpeluang untuk belajar dan maju. Kanak-kanak akan dapat merasakan rasa kekitaan (sense of belonging) dan seterusnya membesar menjadi orang yang berguna kepada masyarakat kelak.