by on 11/09/2024 80
Sorotan Utama |
|
Kanak-kanak dengan keperluan khas mampu dan boleh berdikari dalam kehidupan seharian mereka. Di AvidAscent Enrichment Centre, matlamat mereka adalah untuk membimbing para pelajar mereka dalam persekitaran yang memupuk, dan membekalkan platform di mana mereka boleh mengembangkan kemahiran dan kekuatan unik masing-masing. Bak kata Cik Doris Lim, pengasas dan direktor pusat ini, "Tidak sesiapa pun harus ketinggalan dalam kehidupan mereka."
Cik Doris dan juga pengasas bersama Cik Meena Nadarajan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pendidikan kanak-kanak bekeperluan khas. Sebelum ini mereka terlibat dalam badan bukan kerajaan yang membantu individu dengan Sindrom Down, dan mereka dapat melihat bahawa terdapat keperluan untuk pusat pendidikan khas yang dapat membantu pelajar-pelajar secara menyeluruh, tanpa mengira latar belakang mereka.
AvidAscent dibuka pada Januari 2023. Ia kini terbuka kepada pelajar-pelajar dari usia 7 tahun hingga 55 tahun, yang mempunyai autisme, Sindrom Down, ADHD, pelajar dengan kelambatan belajar, dan perkembangan kanak-kanak yang lewat.
AvidAscent terletak dalam bangunan bertingkat satu di dalam kawasan perumahan SS17 di Petaling Jaya. Halaman rumahnya dilengkapi dengan taman permainan luar dan kemudahan seperti trampolin, dan juga taman kecil yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan.
Rekaan dalaman pusat ini juga nyaman dan memudahkan pergerakan udara. Ruang umum mudah dijadikan tempat untuk aktiviti fizikal, manakala bilik darjah pula disusun seperti struktur sekolah kerajaan yang menawarkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Cik Meena menjelaskan bahawa ianya mewujudkan persekitaran yang selesa untuk pelajar-pelajar di Avidascent kerana sebilangan daripada mereka juga berdaftar di sekolah PPKI.
Program-program di pusat ini direka khas untuk membantu pelajar-pelajar dengan keperluan dan tahap pembelajaran yang berlainan. Ianya bermula dengan Program Sekolah, atau School-Age Programme (SAP) yang terbuka kepada pelajar-pelajar berumur 7 hingga 14 tahun.
"Dari segi akademik, murid-murid akan belajar kemahiran bahasa termasuklah membaca, menulis, mendengar, dan bertutur, selain S.T.E.M (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik)," jelas Cik Meena. "Kami juga ada kelas muzik dan pergerakan, aktiviti fizikal, dan sesi yoga yang amat berguna untuk membantu pelajar-pelajar kami mengawal emosi mereka dengan lebih baik."
Pelajar-pelajar juga dapat meningkatkan kemahiran yang lain. Kumpulan yang kecil, iaitu empat atau lima pelajar sahaja dalam satu kelas, membolehkan mereka berinteraksi, berkomunikasi, dan bekerjasama dengan satu sama lain. Pada masa yang sama, guru-guru boleh memberi tumpuan yang lebih teliti kepada keperluan individu melalui Program Pendidikan Individu (Individual Educational Programme - IEP) bagi menangani apa-apa kekurangan atau kekangan dalam pelajaran mereka.
Bagi pelajar-pelajar yang memerlukan terapi, AvidAscent ada menawarkan terapi pekerjaan, terapi pertuturan, dan terapi muzik yang dikendalikan ahli profesional.
Peringkat seterusnya selepas SAP adalah Modulasi yang bertumpukan kemahiran vokasional. Kelas ini terbuka kepada pelajar-pelajar berusia 15 hingga 19 tahun dan menggabungkan teori dan aktiviti praktikal. Menurut Cik Meena, matlamat mereka adalah untuk membantu murid-murid supaya berdikari dan menyediakan mereka untuk dunia pekerjaan pada masa hadapan.
"Contohnya, mereka akan belajar bagaimana untuk membuat kek dan biskut, selain mempelajari asas pemakanan yang sihat. Kek-kek dan kuih muih ini biasanya dijual ketika perayaan dan selalunya mendapat sokongan yang baik. Pelajar kami juga akan pergi ke kedai untuk membeli barangan untuk membuat kek, di mana mereka dapat berdikari dalam melakukan aktiviti seperti membuat bayaran dan memilih bahan-bahan yang diperlukan," kata beliau. Sebelum ke kedai, guru-guru akan melakukan raptai supaya mereka bersedia untuk senario sebenar.
Selepas Modulasi, terdapat Program Vokasional untuk pelajar-pelajar 20 tahun ke atas. "Ramai pelajar berkeperluan khas dipinggirkan selepas mereka menamatkan pendidikan formal mereka, dan mengalami kemunduran semula. Kesinambungan pelajaran dan latihan amat penting. Itulah matlamat program kami," kata Cik Doris.
AvidAscent bekerjasama dengan organisasi dan inisiatif seperti Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk penempatan kerjaya. Selain itu, mereka juga mewujudkan peluang pekerjaan untuk pelajar-pelajar mereka sendiri: salah satu pelajar mereka yang lebig besar kini dilatih untuk menjadi pembantu pengajar di pusat mereka.
AvidAscent kini menawarkan dua jadual, iaitu selama dua hari atau empat hari, dari pukul 9 pagi hingga 4 petang, setiap Isnin ke Khamis. Jadual yang lebih fleksibel ini memudahkan pelajar-pelajar yang juga hadir ke sekolah biasa, jadi lebih senang untuk mereka membahagikan masa. Terdapat rancangan untuk membuka kelas bimbingan selepas sekolah, yang akan bertumpukan kemahiran seperti membaca, menulis, dan bimbingan kerja rumah.
Misi AvidAscent adalah untuk membolehkan setiap kanak-kanak menjadi versi terbaik diri mereka. "Mereka kreatif dengan cara mereka sendiri, dan mereka mempunyai bakat mereka sendiri, itulah yang kami mahu ceburi. Kami di sini bukan untuk melatih kelemahan mereka, tetapi untuk melatih kekuatan mereka, supaya mereka boleh bergerak ke peringkat seterusnya dan mempunyai masa depan yang cerah," Cik Doris membuat kesimpulan.