by on 02/04/2024 356
Sorotan Utama |
|
Aspire Inclusive Community yang terletak di Ara Damansara, Petaling Jaya, merupakan sebuah pusat pendidikan khas yang mempersonifikasikan pendidikan yang inklusif. Ia ditubuhkan oleh Michelle Ooi dan Charlotte Leong pada tahun 2020, selepas mendapati kekurangan dalam institusi yang menawarkan pendidikan khas di Malaysia.
“Kebanyakan sekolah khas memberi tumpuan terhadap terapi dan pendidikan. Tetapi apa yang bakal dilakukan oleh anak-anak ini, dan bagaimanakah masa hapadan mereka selepas alam persekolahan?” soal Michelle. “Oleh kerana ini, kami ingin menerapkan latihan vokasional di pusat pendidikan kami, bagi melengkapi murid-murid kami dengan kemahiran yang perlu untuk masa hadapan di mana mereka dapat mencari kerja yang sesuai,” katanya.
Aspire menawarkan program yang seimbang untuk murid-murid mereka berusia dari tujuh hingga 18 tahun. Ianya merangkumi tiga aspek – akademik, latihan vokasional, dan kursus elektif, bagi membolehkan murid-murid yang mempunyai keperluan yang berlainan untuk belajar dan berkembang mengikut tahap dan kebolehan masing-masing.
Salah satu ciri utama di Aspire merupakan pendekatan pembelajaran inklusif yang ditawarkan pusat ini. Murid-murid diletakkan dalam persekitaran yang sama tanpa mengambil kira kelainan mereka, dan mereka juga menerima peluang pembelajaran yang sama.
Ini bermakna bahawa sama ada kanak-kanak mempunyai autisme, gangguan defisit perhatian hiperaktiviti (ADHD), kecacatan intelektual, atau kelewatan pembangunan global, mereka akan dapat belajar dalam persekitaran yang mesra dan menyokong di Aspire.
Pada masa yang sama, Aspire mementingkan keunikan individu sebagai salah satu ciri atau kekuatan dalam diri setiap pelajarnya, ciri-ciri yang harus dihargai dan dihormati.
Bilangan murid yang kecil dalam kelas menjamin perhatian dan sokongan yang rapi dari guru-guru, membolehkan mereka memberi tumpuan terhadap kekuatan setiap murid dan aspek-aspek yang perlu diperbaiki. Sama ada kanak-kanak tersebut belajar kemahiran asas seperti membaca dan mengira, ataupun meningkatkan kemahiran dalam pejabat mereka, kurikulum di Aspire disesuaikan untuk tahap pembelajaran dan kebolehan individu.
Sebahagian besar daripada pembelajaran inklusif terdiri daripada menyesuaikan program untuk memenuhi keperluan kanak-kanak tersebut, dan memastikan mereka mendapat pembelajaran yang sepatutnya. Sebagai contoh, terdapat pelajar yang lemah dalam matematik, manakala pelajar lain pula susah berurusan dengan konsep masa. Walaupun mereka berada di dalam kelas yang sama, mereka tidak semestinya melakukan aktiviti yang sama. Guru perlu melaksanakan pengajaran yang sesuai, jadi ai adalah pendekatan yang sangat bergantung kepada individu,” kata Charlotte.
Menurut Michelle dan Charlotte, ibu bapa sering mempunyai kebimbangan tentang anak mereka berada di sekitar pelajar dengan keperluan khas yang berbeza. “Kami mahu membantu mereka memahami bahawa walaupun anak-anak mereka mungkin mempunyai kesukaran atau perbezaan dalam komunikasi, satu perkara yang pasti – di Aspire, mereka boleh merasakan bahawa mereka berada dalam persekitaran pembelajaran yang selamat, dan mereka boleh menjadi diri mereka sendiri. Itulah maksud pembelajaran inklusif,” terang Michelle.
Pusat Aspire dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan termasuklah taman permainan dalaman, bilik darjah yang dilengkapi peralatan audiovisual dan komputer, serta dapur dengan kaunter ‘island’ untuk kelas memasak. Terdapat juga bilik “calming”, yang menyediakan ruang terapeutik untuk membantu pelajar menenangkan diri apabila mereka merasa bimbang atau tertekan.
Aktiviti fizikal pula dilakukan di luar di sebuah kawasan khas.
Dari segi akademik, Aspire mengamalkan kurikulum Eduseeds, yang bertumpukan Sains, Teknologi, Membaca, Kejuruteraan, Seni, dan Matematik (STREAM).
Subjek-subjek merangkumi bahasa seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, dan Bahasa Mandarin, berserta Matematik, Sains, Sains Komputer, dan perkembangan individu. Kurikulum ini juga menyedikan murid-murid yang ingin mengambil peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGSCE).
Kursus elektif pula merangkumi aktiviti yang bermakna seperti CR8 Robotics, di mana murid-murid dapat belajar kemahiran coding yang asas melalui praktis dan permainan, ditambah lagi pula dengan pelbagai aktiviti seni dan kraf.
Pusat Aspire juga menawarkan pelan pembelajaran untuk meningkatkan kemahiran vokasional. Ini termasuklah etiket di pejabat, pengurusan kewangan, kemahiran memasak dan membuat kek, di mana para pelajar dapat mengaplikasikan apa yang telah dipelajari dalam kehidupan seharian mereka melalui aktiviti praktikal, latihan, dan lawatan sambil belajar.
Salah satu sebab di sebalik kejayaan sekolah ini adalah pendekatan mereka yang kolaboratif, di antara para ibu bapa, penjaga, dan pakar terapi. Mereka berkomunikasi secara terbuka untuk memastikan keperluan setiap pelajar dapat dipenuhi secara efektif.
Sebelum pelajar memulakan program di Aspire, mereka akan melalui proses penilaian, untuk menilai tahap pembelajaran mereka dan juga kesesuaian dengan program yang ditawarkan di Aspire. Proses ini biasanya mengambil masa tiga hari, dan pihak Aspire akan melihat bagaimana pelajar tersebut dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan rutin baru, dan juga berinteraksi dengan pelajar-pelajar lain. Mereka juga dinilai berdasarkan tahap akademik mereka, seperti kebolehan untuk membaca, menulis, dan mengikut arahan.
Di akhir sesi ini, Aspire akan mengadakan konsultasi dengan ibu bapa bagi menyelaraskan jangkaan mereka dan menasihati mereka mengenai langkah seterusnya. “Kadangkala, program seharian penuh (yang berlangsung sehingga pukul 3 petang) agak sukar untuk pelajar tersebut, jadi kami akan menasihati ibu bapa untuk menghantar mereka ke sesi separa hari kami,” kata Charlotte.
Walaupun Aspire tidak menawarkan servis terapi, mereka bekerjsama dengan pakar terapi untuk memastikan mereka dapat memenuhi mana-mana keperluan individu dari segi akademik, pelajaran secara berkumpulan, dan kemahiran sosial, supaya pakar terapi boleh menumpukan perhatian mereka kepada pengurusan tingkah laku.
Aspire Inclusive Community terselah berbanding pusat pendidikan khas yang lain, berkat komitmen mereka terhadap pembelajar inklusif dan juga peluang pembelajaran yang sama rata, sama ada dari segi akademik ataupun vokasional.
Matlamat akhir mereka adalah untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong dan memelihara - di mana pelajar boleh berkembang, membina keyakinan, sikap berdikari, dan mencari tujuan hidup mereka.