by on 10/09/2021 358
Sorotan Penting |
|
Sekolah Antarabangsa Discover, Seri Kembangan didorong oleh visi untuk “menginspirasikan setiap kanak-kanak dengan rasa cinta terhadap belajar, rasa yakin untuk meneroka dan perkembangan ke arah mencapai cita-cita sebagai seorang individu.” Diasaskan oleh Dr. Danny Ghee, pemenang Anugerah Pendidik Cemerlang Kebangsaan EDUCOOP 2019, sekolah ini berusaha untuk menjadi sekolah antarabangsa yang terkemuka, tempat semua kanak-kanak mendapat akses yang setara kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang sosial, dan sebuah sekolah yang diiktiraf kerana komitmennya kepada kecemerlangan.
Kampus sekolah ini terletak di Kelab Bayan, sebuah pusat rekreasi dengan kemudahan sukan yang terbaik. Para pelajar dapat menikmati semua kemudahan termasuk kolam renang, gelanggang badminton, gelanggang tenis dan gimnasium. Ibu bapa dapat meyakini bahawa kanak-kanak akan selamat kerana setiap aras dipantau oleh penjaga keselamatan serta sistem pengawasan CCTV. Dalam pekarangan sekolah terdapat persekitaran pembelajaran lengkap yang direka bentuk dengan teliti untuk memenuhi keperluan pembelajaran dunia moden. Persediaan ini mewujudkan banyak peluang kepada pelajar untuk meneroka konsep baharu di samping memupuk minat peribadi mereka.
Di Sekolah Antarabangsa Discover, mereka menawarkan kurikulum yang mantap dan menyeluruh berasaskan sistem pendidikan British tetapi direka bentuk mengikut acuan setempat. Kerangka yang menyeluruh ini menggabungkan pembelajaran akademik dan berpacukan kemahiran untuk menyokong pelajar secara holistik. Keadaan ini menyediakan asas kukuh untuk perkembangan jasmani, emosi, spiritual dan intelektual, serta menyediakan pelajar untuk segala perkara yang mendatang dalam hidup mereka.
Dari usia 3 tahun ke atas, para pelajar yang mendaftar di Sekolah Antarabangsa Discover akan melalui peningkatan yang berterusan dari kelas persediaan (prasekolah) hingga sekolah menengah. Setiap tahap membina pengetahuan pelajar daripada asas sebelumnya, dan pengalaman pendidikan di sini adalah luar biasa.
Untuk pelajar yang paling muda, perkara utama adalah untuk memastikan kanak-kanak gembira dan selamat, di samping memenuhi keperluan mereka sebelum mengambil kira hal yang lain. Apabila mereka berasa selamat, mereka akan secara semula jadinya bersedia untuk meneroka dan meningkatkan diri menurut kadar masing-masing. Para guru menyeimbangkan pembelajaran berasaskan bermain dengan mengajar konsep asas seperti literasi, angka, bahasa, muzik, kesenian dan kemahiran sosioemosi. Mereka dengan aktifnya menyediakan pelbagai jenis peluang multisensori untuk kanak-kanak mencuba perkara yang berbeza dan menemui potensi dalaman diri mereka. Mereka ingin agar kanak-kanak tidak pernah kehilangan rasa ingin tahu untuk mempelajari sesuatu yang baharu.
Kanak-kanak memperolehi bukan sahaja asas untuk peralihan lancar ke sekolah rendah, malah mereka juga membina kemahiran dalam semua domain utama pembelajaran; pembangunan sahsiah, sosial dan emosi; perkembangan jasmani; perkembangan komunikasi dan bahasa; perkembangan literasi; matematik; memahami dunia; dan seni serta reka bentuk ekspresif.
Pada peringkat sekolah rendah, para guru terus mengekalkan pendekatan yang menyeronokkan dan aktif dalam pembelajaran. Pelajaran disampaikan dalam kumpulan yang kecil dengan maksimum 12 orang pelajar setiap kelas agar para pelajar menerima perhatian perseorangan yang diperlukan oleh mereka untuk mengoptimumkan perkembangan. Program kokurikulum sekolah yang pelbagai sekali gus memanfaatkan bilik darjah dan juga peluang pendidikan di luar untuk menghasilkan pencapaian yang bukan sekadar keputusan akademik yang cemerlang. Pada setiap masa, para pelajar digalakkan untuk berfikir secara kreatif, berkomunikasi dengan berkesan, bekerjasama dengan baik dengan rakan sebaya, dan kekal terinspirasi untuk belajar dengan bersemangat. Terdapat penekanan yang bersungguh-sungguh untuk menyediakan pelajar menjadi warga global yang berdaya saing dan memiliki kemahiran abad ke-21. Apabila pelajar melalui peringkat sekolah rendah, mereka akan berkembang menjadi lebih berkeyakinan dengan kebolehan sendiri untuk menempuh cabaran baharu di sekolah menengah.
Budaya di peringkat sekolah menengah bawah dan atas kekal sama apabila para pelajar diberikan sokongan untuk membina kemahiran dan kecekapan bagi mempertingkatkan diri mereka. Para pelajar menemui minat mereka melalui program yang berpusatkan anak-anak yang akan dipenuhi dengan pengalaman pembelajaran yang tulen dan berasaskan dunia nyata. Pelajar menengah atas akan perlu membuat pilihan subjek yang diminati yang kesemuanya terarah kepada peperiksaan Sijil Am Pendidikan Menengah Antarabangsa (IGCSE) pada tahun akhir mereka.
Pada tahun 2022, pelajar Tahun 11, Nathan Lye, menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Cambridge (Top in the World) Cambridge IGCSE Mathematics, yang merupakan bukti keupayaan sekolah untuk memupuk pelajar yang mempunyai kelayakan akademik yang kukuh.
Apabila graduan Discover meninggalkan alam persekolahan, mereka telah dilengkapi dengan kelayakan IGCSE yang diiktiraf di peringkat global, yang membuka peluang kemasukan ke kolej dan universiti di serata dunia. Mereka juga dibekalkan dengan satu set kukuh kemahiran boleh pindah yang akan dapat dimanfaatkan sepanjang hayat, yang menyediakan mereka untuk masa depan.
Paling utama, semua orang di Sekolah Antarabangsa Discover berpegang kepada nilai hubungan yang positif. Para pelajar diberikan galakan untuk membentuk hubungan yang saling menghormati dengan rakan sebaya, para guru dan komuniti sekolah keseluruhannya. Para guru juga menggembleng usaha untuk membina ikatan yang ikhlas dengan ibu bapa, memahami suasana mereka di rumah dan mengalu-alukan komunikasi yang berterusan dan terbuka. Hal ini memberikan kesan yang luar biasa terhadap kejayaan para pelajarnya sejak dari awal.